Vaksin CanSino dipertimbang untuk banduan

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

- Advertisement -

JELI: Jabatan Kesihatan Kelantan bercadang untuk mengutamakan pemberian vaksin CanSino kepada golongan tertentu yang lebih diperlukan selain penduduk kawasan pedalaman termasuk Orang Asli.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, golongan tertentu yang dipertimbangkan antaranya banduan, individu dalam tahanan Imigresen dan pesakit terlantar.

Menurutnya, penggunaan vaksin CanSino akan memudahkan urusan pihak berkuasa memandangkan ia hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja berbanding vaksin jenis lain.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli, Bukit Nangka, di sini, hari ini. Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan membekalkan vaksin CanSino kepada Kelantan untuk kegunaan penduduk di kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli.

Pada masa yang sama Dr Zaini berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kini dibuka di setiap daerah untuk mempercepatkan suntikan vaksin kepada orang ramai.

Katanya, selain PPV awam, pihaknya juga membuka PPV di klinik swasta, hospital swasta, serta mengadakan vaksinasi dari rumah ke rumah dan program Outreach.

“Ianya bertujuan untuk mempercepatkan masyarakat kita mendapat suntikan vaksin. Kita juga begitu yakin untuk memastikan 80 peratus penduduk di negeri ini menerima suntikan vaksin untuk mecapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Kelantan bakal menerima 550,000 dos vaksin pada Julai ini sebagaimana yang dinyatakan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin Khamis lepas.

Jelasnya, vaksin berkenaan akan diagihkan di seluruh jajahan di negeri itu untuk kegunaan anggota masyarakat.

Beliau juga berkata, antara kaedah untuk mempercepatkan suntikan vaksin dibuat dengan membuka outreach di tempat tertentu sebagai tambahan kepada Pusat Pemberian Vaksin sedia ada. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -