Jeli model pembangunan digital kawasan luar bandar

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

JELI: Bagi meningkatkan kemahiran dan menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Seri Mustapa Mohamed melancarkan Kelas Tuisyen Bahasa Inggeris sebagai inisiatif bagi membantu pelajar.

Katanya, program berkenaan dilancarkan secara dalam talian di Putrajaya semalam memandangkan negara masih belum pulih daripada wabak Covid-19.

- Advertisement -

Kata beliau kelas tuisyen itu diadakan untuk meningkatkan penguasaan serta kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris sekaligus dapat menggunakannya sebagai bahasa kedua dalam pertuturan seharian.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata di samping itu, penumpuan juga akan diberikan dari sudut tatabahasa dan penulisan.

“Kelas tersebut akan diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu,” katanya lagi ketika ditemui di Pejabat Ahli Parlimen Jeli di sini hari ini.

Beliau berkata, kelas tuisyen itu merupakan kesinambungan Tuisyen Darul Falah yang dilaksanakan sejak 1995 yang kini mempunyai lebih 5,000 alumni.

Menurutnya, Tuisyen Darul Falah memberikan tumpuan khusus kepada penguasaan bahasa Inggeris yang dilaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi melengkapi kelas yang diadakan pihak sekolah.

“Dalam masa sama, satu survei akan diadakan dalam kalangan pelajar bagi mendapatkan maklum balas mengenai PdPR, penggunan peranti seperti telefon pintar atau komputer riba dan liputan internet di kawasan mereka,” kata beliau.

Berhubung masaalah liputan internet, beliau berkata, usaha untuk mengatasi masalah itu sedang dilaksanakan di mana pada Februari lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meninjau 13 lokasi yang menghadapi masalah liputan.

“Di antara tindakan yang telah dilaksanakan ialah membina menara komunikasi di Kampung Rabbana, Jeli dan kini telah siap dan digunakan,” ujarnya.

Mustapa menambah, tindakan tidak hanya terhenti setakat itu, sebaliknya gerak kerja susulan sedang dilaksanakan oleh SKMM di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Beliau berharap kerja-kerja menaik taraf inrastruktur bagi meluaskan liputan internet yang berkualiti dilaksanakan segera di mana Jeli akan dijadikan sebagai contoh pembangunan digital kawasan luar bandar. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -