Wad kelas 3 percuma untuk rakyat Terengganu

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bermula 1 Julai ini, rakyat Terengganu akan menikmati caj wad kelas ketiga ‘percuma’ di semua hospital kerajaan seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, faedah dari program itu akan dinikmati oleh 1.2 juta rakyat Terengganu.

Kata beliau, setelah melalui beberapa proses agak panjang rundingan kerajaan negeri dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Pusat akhirnya berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, golongan yang mendapat faedah adalah rakyat negeri ini sahaja dan tidak terpakai kepada pasangan bukan rakyat Terengganu.

“Alhamdulillah, kita telah melalui beberapa proses yang panjang, untuk kita melaksanakan satu lagi janji manifesto PAS pada PRU14 lalu.

“Bagi memenuhi janji kita (PAS) kepada rakyat iaitu memberikan rawatan ‘percuma’ Wad Kelas Ketiga bagi semua hospital kerajaan di negeri Terengganu.

“Kita telah berjaya membuat segala persiapan, dengan kerjasama KKM dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan Pusat, bagi menjayakan program ini di seluruh hospital kerajaan negeri Terengganu sahaja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada siding medianya di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, hari ini.

Menurut Dr Alias, kerajaan negeri menanggung kos sebanyak RM3.7 juta setahun bagi menyediakan perkhidmatan wad kelas tiga percuma itu.

“Rakyat Terengganu sekarang 1.2 juta akan dapat manfaat daripada program ini. Rekod yang datang ke hospital kita (kerajaan) masuk wad setahun dalam anggaran 90,000 orang.

“Ini melibatkan enam buah hospital kerajaan seluruh negeri di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Hospital daearah Kemaman, Hospital daerah Dungun, Hospital daerah Besut, Hospital daerah Setiu dan Hospital daearah Hulu Terengganu.

“Ianya melibatkan anggaran 1,390 buah katil. Ini melibatkan kos kita sekitar RM3.7 juta setahun yang ditanggung oleh kerajaan negeri untuk rakyat negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal berkata, program ini lebih memfokuskan kepada golongan rakyat B40, yang bekerja sendiri tiada majikan, tiada insuran dan sebagainya.

Tambah lagi, katanya sekarang ini musim Covid-19, yang melibatkan peniaga kecil, buruh-buruh yang tidak ada punca pendapatan akan terbeban dengan caj hospital.

“Alhamdulillah, kita (kerajaan) dapat kelulusan ini oleh KKM diwaktu negeri sedang menghadapi pandemik Covid-19. Program ini akan bermula pada 1 Julai 2021 ini.

“Mereka (rakyat) yang masuk wad hospital pada 1 Julai nanti tidak perlu lagi membayar caj untuk wad kelas ketiga kerana kita beri percuma,” tegasnya.

Justeru, katanya rakyat tidak perlu lagi bimbang mengenai bayaran hospital kerana caj akan dibilkan terus kepada kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -