SUHAKAM disaran tumpu kajian isu lebih mendesak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato’ Seri Mohd Hishamudin Yunus yang mengatakan bahawa isu transgender adalah satu medical condition yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu seseorang itu seumur hidup adalah sangat mengecewakan dan jelas menyimpang daripada fakta sebenar dan juga ajaran Islam.

“Hujah bahawa kita tidak boleh menidakkan hak asasi seseorang itu semata-mata kerana dia dilahirkan sebagai transgender yang mempunyai ‘jiwa’ yang bertentangan dengan fitrahnya sangat sukar untuk diterima akal,” kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Katanya, ‘jiwa’ yang bertentangan dengan fitrah perlu diuruskan supaya ia tidak merosakkan diri dan masyarakat.

“Kalaulah semua perkara boleh dilakukan dengan menggunakan hujah ‘jiwa’, nescaya huru-hara dan kucar-kacirlah dunia kerana kita perlu meraikan segala jenis benda haram yang menjadi kecenderungan manusia,” jelasnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

- Advertisement -

Menurutnya, susulan iklan mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan jantina ketiga yang disiarkan di Facebook SUHAKAM bertarikh 14 Jun 2021 sebelum ini pula, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menghantar emel rasmi kepada SUHAKAM bagi memohon penjelasan mengenai justifikasi cadangan penyelidikan yang akan dijalankan.

Setakat ini, ujar beliau SUHAKAM masih belum memberikan sebarang jawapan.

Beliau berkata, JAKIM berhak menerima penjelasan daripada SUHAKAM sementelah sudah menjadi tugas dan peranan JAKIM untuk menangani sesuatu isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Lagi pula, kita tidak mahu data-data yang dikumpulkan disalah guna untuk memberi gambaran realiti sosial yang salah, memandangkan matlamat kajian secara jelas adalah berat sebelah, iaitu ke arah memberi pengiktirafan kepada jantina ketiga,” katanya lagi.

Beliau melihat, adalah lebih baik untuk SUHAKAM menggunakan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan bagi mengkaji isu yang lebih relevan dengan situasi pandemik yang mendesak, terutamanya yang berkaitan dengan isu-isu hak asasi golongan rentan, wanita dan kanak-kanak.

Baru-baru ini, kata beliau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menjadikan masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga.

“Kita percaya lebih banyak data dan kajian yang diperlukan daripada semua pihak dalam mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan kes mangsa-mangsa keganasan rumah tangga, khususnya yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Memperbanyak kajian yang memberi manfaat kepada golongan ini adalah lebih utama daripada pergi kepada isu-isu yang menjadi bantahan majoriti rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Justeru, beliau memohon agar SUHAKAM jujur dalam menentukan kajian yang lebih penting dalam merealisasikan hak asasi manusia di Malaysia.

“Yang lebih utama, hormatilah Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi rakyat majoriti Islam yang berpegang teguh dengan agama dan nilai moral,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -