Iktiraf ‘third gender’ cabar agama Persekutuan

- Advertisement -

PAS Negeri Pulau Pinang membantah sekeras-kerasnya cadangan kajian oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkenaan kajian mengiktiraf ‘Third Gender‘ di Malaysia.

Kami menggesa agar ianya dibatalkan segera kerana sangat jelas dan nyata bertentangan dengan Islam seperti firman Allah di dalam surah An-Najm ayat 45 yang bermaksud:

- Advertisement -

“Dan bahawa sesungguhnya Dialah yang menciptakan lelaki dan perempuan.”

Tindakan dan cubaan untuk mengiktiraf ‘Third Gender’ merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan berlawanan dengan fitrah manusia di muka bumi ini. Justeru, usaha untuk mengiktiraf ‘Third Gender‘ ini ibarat mencabar kesucian agama Islam yang merupakan Agama Persekutuan di negara ini.

Oleh itu agenda ke arah mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia tidak boleh diterima sama sekali kerana ianya melampaui batas dan mengancam norma budaya hidup masa ini dan selamanya. Adakah kewujudan SUHAKAM pada masa kini adalah untuk membawa agenda Barat yang merosakkan lagi pemikiran manusia serta mengancam tatasusila rakyat Malaysia?

Dengan keadaan negara dan dunia yang kini sedang berperang dengan Pandemik COVID-19, janganlah kita cuba mengundang bala dan murka Allah S.W.T dengan melakukan perkara yang dilaknatNya sebagaimana jelas dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Sekali lagi, PAS Pulau Pinang dengan tegas mendesak agar agenda ini dibatalkan serta merta demi menjamin hak asasi manusia berada di landasan yang tepat menurut Islam. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang
16 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -