Ayuh bersama PN pastikan negara bebas Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yakin usaha memupuk kesegeraan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia adalah kunci utama kepada Pelan Pemulihan Negara.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata pelaksanaan kesegeraan suntikan vaksin perlu dilaksanakan secara tuntas,dan benar-benar “outreach” sama ada di bandar-bandar, pinggir bandar, kampung, desa dan pedalaman bagi tempoh terkini.

- Advertisement -

Justeru, ujarnya Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan keyakinan tinggi bahawa kesegeraan suntikan vaksin adalah indikator paling utama yang kemungkinan Pelan Pemulihan Negara boleh dicapai sepenuhnya lebih awal berbanding seperti yang dirancang.

“Tidak perlu lagi membuang masa andainya mahu Malaysia bebas pandemik Covid-19 menjelang akhir tahun ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menggesa supaya digerakkan segala mobiliti, tenaga kerja dan logistik kesihatan awam termasuk memohon bantuan sokongan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Askar Wataniah, Persekutuan Pengakap Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta serta seluruh sukarelawan rakyat Malaysia.

Menurutnya, semangat Malaysia Boleh hendaklah dipalukan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Sudah tentu tahap populasi yang dilindungi secara agresif ini secara langsungnya akan mempengaruhi kesan pengurangan bilangan kes jangkitan harian serta kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

“Justeru, ayuh seluruh rakyat Malaysia bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) memastikan Malaysia bebas Covid-19 seperti sebahagian negara di Kesatuan Eropah, Brunei, Australia dan New Zealand yang sudah menikmati dan menghampiri bebas Covid-19,” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -