Buktikan dakwaan tambak laut untungkan nelayan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur Pulau Pinang, Zairil Khir Johari digesa membuktikan dakwaannya mengatakan projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR) menguntungkan nelayan dan rakyat Pulau Pinang melalui projek tambakan Seri Tanjung Pinang (STP).

Menurut Ketua Nelayan Unit Sungai Batu, Zakaria Ismail, Zairil perlu membuktikan terlebih dahulu dari aspek bagaimana projek tambakan di STP dan STP2 telah menguntungkan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Pulau Pinang sebelum mengatakan PSR juga akan menguntungkan rakyat dan nelayan Pulau Pinang.

- Advertisement -

“YB Zairil kata, PSR boleh menawarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan pada fasa awal. Jadi, saya hendak tanya balik, sekarang dia sudah siap STP 1 dan STP 2, berapa ramai penduduk Pulau Pinang sudah bekerja di bahagian situ?

“Adakah sudah mencecah sudah 5,000 orang pekerja? Ataupun, saya tengok dan saya dapati, di kawasan STP2 di Persiaran Gurney, dia jadi kosong.

“Dia jadi semacam gurun pasir, di mana kalau ribut, bukan sahaja kawasan di situ, tetapi sampai ke kawasan Gurney Drive itu, di mana orang yang lalu lalang dengan kereta pun menjadi dapat pasirnya.

“Jadi saya rasa peluang pekerjaan yang mereka katakan itu adalah lebih baik mereka tunjuk contoh yang baik di STP1 dan STP2. Saya hendak tengok hasilnya di situ, baru boleh cakap tentang (peluang pekerjaan) di PSR,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara Dialektika TV, berjudul Prolog: PSR, Pi Mai Pi Mai yang turut menampilkan Jurucakap Penang Tolak Tambak, Khoo Salma Nasution dan Felo Kehormat Institusi Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Dr Hezri Adnan, pada Isnin.

Pada 4 Jun, Zairil mendakwa bahawa sekiranya PSR dimulakan tahun ini, negeri itu menyasarkan 5,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam lingkungan tiga tahun tahun.

Kata Zairil, PSR dijangka menawarkan sebanyak 300,000 peluang pekerjaan selain menarik pelaburan asing bernilai RM70 bilion sepanjang tempoh 30 tahun.

Untuk rekod, projek STP1 seluas 97 hektar dan STP2 seluas 307 hektar, dimulakan pada 1997 bagi memajukan kawasan Tanjung Tokong sebagai hab pembangunan baharu. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -