Usaha iktiraf gender ketiga: SUHAKAM perlu dihentikan

- Advertisement -

KAMI ingin mengambil perhatian terhadap satu isu tular melibatkan poster pengambil penyelidik bagi tujuan kajian bagi membolehkan pengiktirafan gender ketiga di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Pertama, kami ingin menuntut, jika poster pengambilan yang menjadi bahan tular ini tidak benar dan palsu, kami menuntut pihak SUHAKAM untuk membuat penafian supaya imej Kerajaan Perikatan Nasional tidak terjejas dengan tindakan tersebut.

- Advertisement -

Kedua, jika perkara ini benar, pihak kami ingin mengingatkan kepada pihak SUHAKAM bahawa, semua bentuk aktiviti SUHAKAM adalah tertakluk kepada Akta yang menubuhkannya iaitu Akta 597 (Akta SUHAKAM).

Kami juga ingin mengingatkan SUHAKAM, bahawa perjuangan untuk mengiktiraf gender ketiga adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mendaulatkan Islam sebagai Agama Bagi Persekutuan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga bertentangan dengan Sumpah Ketua Utama Negara, iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diwajibkan bersumpah untuk memelihara Islam pada semua masa di dalam Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan SUHAKAM juga bertentangan dengan Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM sendiri yang mengehadkan SUHAKAM supaya memperjuangkan Deklarasi Hak Asasi Manusia hanya setakat perkara yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehingga kini SUHAKAM sudah berkali-kali terlibat di dalam aktiviti-aktiviti serta perkara-perkara yang mengundang kontroversi yang dilihat bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Kami mendesak supaya perancangan untuk menjalankan usaha pengiktirafan gender ketiga yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ini dibatalkan.

Kami juga ingin mendesak supaya peranan SUHAKAM disemak semula dan jika perlu, rombakan terhadap pelantikan Pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM disusun semula oleh pihak kerajaan.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -