PPV sementara dapat sambutan penduduk

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Selain masjid dan pondok, sekolah agama juga dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara bagi memberi kemudahan kepada masyarakat menerima suntikan vaksin Covid-19.

Langkah itu juga dapat menggalakkan rakyat menyertai program vaksinasi terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) yang dilaksanakan sehingga akhir Jun ini menghadkan pergerakan.

- Advertisement -

Speaker Dewan Udangan Negeri (Dun), Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, seluruh wakil rakyat Kelantan hendaklah memainkan peranan masing-masing memastikan mereka dan keluarga menerima suntikan vaksin.

Katanya, mereka yang berusia 18 tahun hendaklah merebut peluang mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang masih membimbangkan sekarang.

“Di Jeli Sekolah Menengah Ugama (SMU) Diniah Gunong, Batu Melintang di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Air Lanas turut dijadikan PPV sementara yang mendapat sambutan menggalakkan sejak dilaksanakan.

“Ia merupakan lokasi PPV sementara terbaharu selepas Dewan Majlis Daerah Jeli, Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Hospital Jeli.

“Alhamdulillah penyertaan agak menggalakkan daripada penduduk setempat, saya difahamkan seramai 500 orang hadir menerima suntikan vaksin dalam tempoh dua hari,” katanya di sini.

Baru-baru ini Jabatan Kesihatan Kelantan membuka PPV di Masjid Sultan Ismail Petra dan masjid di Kampung Banggol sebagai tempat lokasi program vaksinasi.

Ustaz Abdullah berkempen supaya penduduk mendaftar menerima suntikan vaksin Covid-19.

Abdullah berkata, usaha yang dilaksanakan melalui program outreach vaksinasi yang melibatkan masjid, surau dan pondok diharap mendapat sokongan penduduk tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Panau, Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, rakyat wajar menyambut baik usaha kerajaan khususnya Jabatan Kesihatan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Katanya, beliau sering kali menggalakkan rakyat untuk mendafar sebagai penerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksana sekarang.

“Justeru itu saya ingin mengambil kesempatan meminta seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Dun Bukit Panau sama-sama mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Semoga dengan usaha baik kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini dapat kita jayakan bersama seterusnya dapat mengembalikan kehidupan rutin seperti sedia kala. Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya.

Adun Guchil, Hilmi Abdullah turut mengambil inisiatif untuk menghantar rakyat untuk menerima vaksin di PPV iaitu Dewan Taman Seri Guchil dan Hospital Sultan Ismail Petra.

“Pusat Khidmat Adun menyediakan van secara percuma bagi penduduk di Dun Guchil membawa penerima vaksin ke PPV yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Alhamdulillah perkhidmatan tersebut mendapat sambutan baik khususnya melibatkan warga emas yang dikenal pasti penghulu mukim bagi memudahkan pergerakan penerima vaksin untuk pergi dan pulang,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -