PAS bantah cubaan SUHAKAM untuk iktiraf LGBTQ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menggesa SUHAKAM agar membatalkan tawaran kajian mengenai third gender yang amat jelas bertentangan dengan agama Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, bukan itu sahaja, ianya secara terang-terangan menyalahi fitrah manusia, budaya malah bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan.

- Advertisement -

Tambahnya, tawaran kajian bertajuk Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia adalah sebuah cubaan ke arah mengiktiraf perbuatan luar tabii transgender dalam negara kita yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurutnya, jelas hasil kajian berikut mesti menggubal undang-undang yang komprehensif untuk mengiktiraf golongan transgender di Malaysia.

“PAS memberi amaran keras jangan membawa ideologi liberal yang berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia sehingga menggadai kedaulatan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang melaknat golongan transgender sebagaimana hadis yang daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

Tambahnya, perkara itu bukan satu gurauan dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 telah memutuskan bahawa: “Seseorang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun (lelaki atau perempuan itu) berjaya menukarkan jantinanya melalui pembedahan. Pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan ataupun sebaliknya, melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak”.

Beliau berkata. dalam suasana negara menghadapi Covid-19, jangan menambahkan lagi punca bala daripada Allah SWT.

“Untuk itu, PAS terus mengajak seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bermunajat kepada Allah SWT agar diangkat wabak ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -