Marah kekasih berubah hati, lelaki bakar Al-Quran

- Advertisement -

OLEH: SARINA ISMAIL

- Advertisement -

ALOR SETAR: Hasil siasatan dan maklumat saksi, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas seorang lelaki Cina, 36 tahun yang disyaki membakar Al-Quran di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Kedah, Dato’ Kamarul Zaman Mamat, kira-kira jam 12.25 tengah hari tadi,  pihak polis telah menerima satu laporan dari seorang lelaki mendakwa dirinya menerima video berkenaan kejadian melalui aplikasi WhatsApp dari seorang rakannya.

Katanya lagi, dari laporan pengadu, kejadian berkenaan berlaku bersebelahan tandas awam dan berhampiran bangunan Tabung Haji Pekan Kuala Nerang, di sini.

“Menurut laporan pengadu, beliau mendapat tahu dari rakannya bahawa kejadian itu berlaku bersebelahan tandas awam dan berhampiran bangunan Tabung Haji, Pekan Kuala Nerang.

“Ketika pengadu ke lokasi kejadian, didapati tiada sesiapa namun menjumpai cebisan Al-Quran yang dibakar,” jelasnya dalam kenyataannya, hari ini.

Berikutan itu, berdasar laporan tersebut, satu kertas siasatan dibuka dan mendapati kejadian itu dilakukan di belakang tandas awam Pekan Naka, Kuala Nerang yang terletak berhadapan dengan rumah suspek.

Dalam tangkapan itu, pihak polis juga turut merampas dua unit telefon bimbit, satu unit pemetik api dan sepasang selipar yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Ketika disoal siasat, suspek berkata perbuatannya tidak bermotifkan agama, sebaliknya melepaskan perasaan marah dan kecewa dengan kekasihnya seorang wanita Islam  yang telah berubah hati.

“Naskah tafsir Al-Quran yang dibakar itu katanya adalah hadiah teman wanitanya yang beragama Islam namun kerana kecewa disebabkan kekasihnya berubah hati, ia dibakar.

“Walau bagaimanapun, suspek  ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” tambahnya.

Justeru itu , kes disiasat mengikut seksyen 435/295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda bagi kesalahan seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Manakala hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya bagi kesalahan seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Maklumnya juga, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pendakwaan.

“Oleh itu, saya menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan yang boleh memecahkan keamanan dan memudaratkan ketenteraman awam,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -