Stok semasa bekalan ikan negara mencukupi

Foto daripada Facebook Che Abdullah Mat Nawi - DCL.

SHAH ALAM: Stok semasa bekalan ikan negara sebanyak 185,000 tan metrik sebulan dijangka mencukupi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh, berbanding anggaran keperluan bekalan ikan bagi rakyat di negara ini sekitar 155,000 tan metrik, menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Timbalan Menteri II kementerian itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menasihatkan pengguna agar tidak perlu bimbang atau membuat pembelian panik kerana bekalan ikan adalah sentiasa mencukupi.

Advertisement

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memainkan peranan yang penting memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara terutama sewaktu pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan tinjauan ke Kompleks LKIM Kuala Selangor dan Pasar Nelayan Sungai Yu, hari ini.

Che Abdullah berkata LKIM adalah juga agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara.

“Para pengguna juga boleh mendapatkan bekalan ikan di 89 buah Pasar Nelayan seliaan LKIM yang turut mempunyai 33 buah Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan di seluruh negara,” katanya.

Che Abdullah turut menasihatkan para nelayan dan pengunjung di pasar-pasar nelayan untuk kekal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara selain terus mengamalkan norma baharu bagi membendung dan menghapuskan penularan pandemik Covid-19.

Sekatan pergerakan penuh yang bermula sejak 1 Jun lepas akan berakhir esok dan kerajaan mengambil keputusan menyambungnya selama dua minggu lagi sehingga 28 Jun. – BERNAMA