Tabung ‘rider’: PEMBELA sedia beri kerjasama

Aminuddin Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: NGO PEMBELA akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berkaitan tabung yang diwujudkan bagi membantu lima penghantar makanan yang ditahan reman semalam.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Aminuddin Yahaya berkata, NGO itu tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin disembunyikan.

Katanya PEMBELA akan bersikap telus dengan semua pihak termasuk pihak polis yang dikatakan akan menjalankan siasatan mengenai tabung tersebut.

- Advertisement -

“PEMBELA juga akan memaklumkan kepada rakyat akan perkembangan bantuan tersebut dari semasa ke masa bagi menjamin ketelusan dan integriti kami.

“PEMBELA mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyumbang kepada tabung kilat yang diwujudkan bagi membantu lima rider yang ditahan polis dan mereka disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya pada kenyataan di sini.

Semalam polis menahan lima penghantar makanan berikutan mereka dikaitkan memukul seorang pelanggan bukan Islam yang dikatakan menghina agama Islam.

Sebelum itu lima rider terbabit hadir ke IPD Petaling Jaya bagi membuat laporan namun mereka ditahan oleh polis bagi menjalankan siasatan lanjut.

Aminuddin berkata, kelima-lima rider terbabit kemudiannya dihadap ke mahkamah untuk mendapat perintah reman di mana pihak polis memohon reman selama empat hari namun pihak peguam berjaya mengurangkan kepada dua hari. 

“Semasa sebelum prosiding reman salah seorang daripada yang direman memaklumkan kepada peguam bahawa jika dituduh mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan wang jaminan,” ujarnya.

PEMBELA juga dihubungi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) untuk membantu ahlinya.

Oleh kata beliau pihaknya berasa terpanggil untuk membantu melepaskan rider terbabit yang dijangka memerlukan wang jaminan sekitar RM3,000-RM4,000 seorang jika dituduh di mahkamah kelak berdasar anggaran peguam.

Menurutnya atas persetujuan bersama, PEMBELA mengambil inisiatif untuk menyalurkan kutipan tersebut bagi membiayai wang ikat jamin (jika dituduh di mahkamah kelak dan memerlukan bayaran wang ikat jamin).

Selain itu kos kerugian hilang pendapatan oleh rider, bantuan kepada persatuan rider dan kebajikan keluarga rider yang terlibat.

“Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) untuk tujuan seperti yang disebutkan di atas,” katanya.

Kata beliau juga peguam yang dilantik PEMBELA iaitu Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar dan Mohd Tajuddin Abdul Razak menyatakan mereka menjalankan khidmat secara pro bono dan tidak akan mengambil sebarang yuran perkhidmatan atau pun perbelanjaan dari mana-mana pihak. – HARAKAHDAILY 13/6/2021

- Advertisement -