Pertimbang semula subsidi minyak, minyak masak

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Sheriff Kassim menggesa kerajaan mempertimbang semula keputusan untuk menampung subsidi minyak dan minyak masak sehingga RM8 bilion pada tahun ini kerana langkah itu hanya akan menyebabkan penyeludupan komoditi terbabit ke beberapa negara jiran.

Beliau berkata jika harga runcit minyak dan minyak masak di selatan Thailand dan wilayah Sumatera di Indonesia serta kepulauan Filipina berhampiran Sabah adalah mengikut trend pasaran maka komoditi itu, yang telah disubsidi di Malaysia, akan menjadi lebih murah.

Advertisement

 “Jika perbezaan harga adalah besar, ini akan membuka peluang untuk produk itu diseludup keluar oleh pihak tertentu bagi meraih keuntungan pantas hasil perdagangan rentas sempadan melalui darat serta laut,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Mohd Sheriff berkata penyeludupan diesel di selatan Thailand berleluasa kerana subsidi sedemikian.

Katanya kelemahan harga subsidi pula ialah golongan berpendapatan tinggi juga akan mendapat manfaat.

Mohd Sheriff berkata adalah lebih baik untuk melaksanakan subsidi pendapatan bersasar berbanding subsidi harga seperti yang dilakukan sebelum ini agar hanya golongan miskin mendapat manfaat.

“Cara terbaik untuk membantu golongan miskin ialah dengan mensubsidi pendapatan mereka tanpa membazirkan dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan harus menyediakan pelan subsidi pendapatan yang lebih besar kepada mereka yang benar-benar miskin termasuk penjaja kecil yang kehilangan mata pencarian susulan pelaksanaan beberapa langkah bagi membendung pandemik Covid-19.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata subsidi yang lebih tinggi pada tahun ini adalah susulan kenaikan harga pasaran global.

Beliau berkata kerajaan akan terus mensubsidi harga minyak dan minyak masak bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi dalam kos sara hidup. – BERNAMA