Sosialisme

Sosialisme
- Advertisement -

SEJARAH ringkas

Sosialisme antara pemikiran yang muncul pada zaman Enlightment (Pencerahan). Namun akarnya sudah ada sejak zaman Reinassance lagi. Contohnya tulisan Thomas Moore (Utopia-1516). Pemikiran ini diasaskan oleh Robert Marcus Owen dan kemudiannya Karl Marx sebagai tindak balas terhadap ekonomi Kapitalisme.

Pada awal abad ke-19, Sosialisme muncul sebagai alternatif terhadap perkembangan Liberalisme dan Kapitalisme yang dilihat tidak mampu mewujudkan struktur masyarakat yang ideal. Justeru, untuk muncul sebagai sebuah ideologi politik, Sosialisme dilihat bercambah-cambah kepada beberapa aliran.
Kalau diikutkan tulisan Thomas Moore tadi, gagasan yang diperkenalkan oleh beliau boleh dikira sebagai Sosialisme Klasik, manakala pada zaman Karl Marx Sosialisme dikenali dengan Sosialisme Utopis, Sosialisme Moden dan Sosialisme Ilmiah.

- Advertisement -

Percambahan pada zaman moden pula boleh dikatakan selepas Perang Dunia Pertama dan Revolusi Rusia. Sosialisme ketika itu terbahagi kepada dua. 

1. Golongan Sosialis mengikut Lenin dan dipanggil Komunis. 

2. Golongan Sosialis yang percaya kepada sistem Parlimen dan mereka ini dipanggil Sosial Demokrat. 

Setelah itu bercambah-cambah lagi teori Sosialisme sehinggalah hari ini kita biasa dengar istilah Demokrasi Sosial. Parti DAP asalnya mendukung aliran Sosialisme Demokratik, namun pada 2006 telah menukar ideologi dukungan mereka kepada Demokrasi Sosial.

Takrif

Ian Adam menyatakan dalam buku Political Ideology Today bahawa istilah ideologi Sosialisme adalah yang paling sukar untuk dihuraikan. Ini kerana sukar menentukan mana satu Sosialisme yang sejati, dan banyak ragam ragamnya.

Franz Magnis Suseno mentakrifkan Sosialisme itu sebagai;

1. Ajaran dan gerakan yang menganut bahawa keadaan sosial tercapai melalui penghapusan hak milik peribadi terhadap alat-alat produksi.

2. Keadaan masyarakat yang mana hak milik terhadap alat-alat produksi telah dihapuskan.

Dalam Encyclopedia of Social History, mendefinisikan Sosialisme sebagai satu pergerakan atau teori organisasi sosial yang inginkan pemilikan atau pengurusan produksi itu diuruskan secara bersama. Iaitu mementingkan elemen kesaksamaan sosial. Justeru, ini sangat bertembung dengan Kapitalisme yang sangat membezakan antara golongan tauke dan peniaga kecil.

Lorens Bagus dalam Kamus Filsafat menyatakan Sosialisme adalah pengendalian harta dan produksi serta kekayaan secara berkelompok. Bukan dimonopoli atau dikuasai oleh seseorang.

Ciri-ciri

Sepertimana takrifan tadi, kita dapat lihat bahawa Sosialisme memperjuangkan kesaksamaan sosial. Nilai-nilai kesetaraan atau kesamarataan diangkat menjadi prinsip yang tinggi. Justeru, sebarang penghasilan (produksi) mestilah dikawal bersama, dan keuntungan juga dikongsi bersama.

Sosialis melihat sekiranya wujudnya pemilikan peribadi seperti yang diperkenalkan oleh Kapitalisme akan mengheret kepada penindasan, kesombongan, mewujudkan konflik dan sebagainya. Mereka ‘dikatakan’ memperjuangkan golongan lemah dan tertindas disebabkan kerakusan golongan tertentu.

Berbeza dengan Sosialisme Klasik, Sosialisme Moden muncul sebagai tindak balas terhadap penindasan dan kediktatoran Kapitalisme dan Liberalisme. Antara kenyataan yang masyhur ialah Francois Noel Babeuf yang berkata ‘Perang kaum miskin melawan kaum kaya’.

Mereka menuntut pembahagian kekayaan dan keadilan mestilah setara, memperjuangkan nilai-nilai perkongsian dalam hidup, menghapuskan kemiskinan dan sebagainya. Penghasilan mestilah atas dasar kegunaan, bukan hanya nak kaut untung semata mata.

Keharmonian masyarakat mengikut mereka mestilah terbina atas dasar kesetaraan dalam semua aspek. Berbeza dengan Liberalisme yang menganggap keharmonian yang sebenar ialah kebebasan individu menentukan cara hidupnya sendiri. 

Logik Sosialisme

Fahaman Sosialisme mempunyai logiknya yang tersendiri, dalam konteks sosial, sepatutnya tidak wujud orang yang lebih kaya daripada orang lain. Sepatutnya kekayaan itu dimiliki bersama. Apatah lagi Malaysia masih wujud unsur-unsur Kapitalisme-Liberalisme.

Justeru, penganut Sosialisme akan bertindak membangkitkan isu-isu kekayaan yang dimiliki oleh individu tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Sebab itu mereka sangat memperjuangkan pengisytiharan harta.

Kalau Sosialisme melihat sudut pengisytiharan harta itu bertujuan untuk mempertikai kekayaan seseorang, manakala sudut sisi Liberalisme pula melihat ia adalah mendukung kebebasan rakyat untuk bersuara yang menuntut pengisytiharan harta. Insya-Allah akan dihuraikan lagi selepas ini.

Kapitalisme-Liberalisme dan Sosialisme kedua-duanya bising dengan unsur kekastaan. Liberalisme pantang dengan kasta-kasta yang mengongkong kebebasan mereka. Manakala Sosialisme pula pantang dengan kasta-kasta tauke Kapitalisme.

Ringkasnya Sosialisme lebih tertumpu untuk ‘membahan’ orang kaya. Mana-mana unsur kekayaan, mesti akan dikaitkan dengan monopoli, penindasan ala-ala Kapitalisme dan sebagainya. Sedangkan Islam bukanlah begitu. 

Antara Sosialisme dan Islam

Apabila kita membincangkan isu-isu pemikiran, kita tidak dapat lari daripada wujudnya beberapa persamaan. Ya, dalam Sosialisme ada ciri-ciri yang hampir sama dengan Islam. Begitu juga ‘kebebasan’ yang diperjuangkan oleh Liberalisme.

Sebab itulah dalam hal pemikiran ini perlu diperhalusi betul-betul, supaya tidak terkeliru. Dalam Islam, ada konsep kesetaraan المساواة  tetapi kesetaraan Islam tidak semuanya sama dengan kesetaraan Sosialisme. Begitu juga Islam membawa kepada kebebasan الحرية  yang tidaklah sama dengan kebebasan Liberalisme.

Contohnya dalam isu pengisytiharan harta, dari sudut Maqasid ia tidaklah sampai melanggar dasar Islam. Dalam masa yang sama kita tidak boleh samakan perjuangan mengisytiharkan harta cara Sosialisme sama dengan Maqasid Islam itu. Ia perlu diperhalusi.

Dalam konteks membela golongan miskin, ya Islam juga turut membela golongan miskin yang disebut المستضعفين.  Islam juga menolak unsur kekastaan. Tetapi kita tidaklah boleh samakan sepenuhnya Sosialisme itu dengan Islam.

Islam tidak menindas orang untuk kaya, tidak menafikan hak milik peribadi. Bahkan mereka yang kaya hendaklah mengeluarkan zakat untuk diberikan kepada asnaf, antaranya orang miskin. Islam juga tidaklah memberi kebebasan yang mutlak sepertimana seruan Liberalisme. 

‘Membahan’ isu harta orang

‘Membahan’ orang kaya atau mereka yang memiliki harta dengan semberono bukanlah cara Islam. Bahkan ia mempunyai unsur-unsur Sosialisme. Orang kaya dipandang jijik oleh mereka. Bahkan konsep ‘membahan’ atau mengejek (troll), atau menganjing bukanlah cara Islam. 

Mengejek merupakan tabiat orang-orang yang jahil, yang tidak mempunyai hujah. Allah S.W.T berfirman;

‎قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ 

“Mereka bertanya “Apakah kamu (Nabi Musa) mahu mengejek kami?” (Nabi Musa) menjawab “Aku mohon kepada Allah agar dijauhkan dari tergolong di kalangan golongan yang jahil.”

(al-Baqarah: 67)

Apa yang kita fahami di sini bahawa tabiat orang jahil ialah bergelumang dalam dunia ejek mengejek. Ejek dibalas dengan ejek. Sebaliknya Islam mengajar dengan hujah. Hujah dibalas dengan hujah, bukan dengan ejekan.

Apabila musuh mengejek kita isu kereta mewah, kita melenting, lalu kita membalas dengan ejekan terhadap kemewahan mereka. Sekali gus mengheret kepada mekarnya nilai-nilai Sosialisme dalam minda masyarakat.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/6/2021

- Advertisement -