Darurat jaga kepentingan rakyat, MAGERAN tidak sesuai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menganggap pembukaan semula Parlimen dan penubuhan kembali Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) adalah satu kaedah yang kurang sesuai untuk diimplementasikan buat masa sekarang.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, beliau kurang bersetuju dengan penubuhan MAGERAN memandangkan ia bukanlah waktu yang sesuai dengan situasi semasa.

“Bagi saya, saya sangat tidak bersetuju kerana kalau kita menubuhkan MAGERAN dalam negara kita ini, ia tidak sesuai dengan waktu yang ada sekarang.

“Sebab waktu yang ada sekarang ini sesuai kita gunakan melalui kaedah Proklamasi Darurat yang telah diisytiharkan di dalam negara kita hari ini.

- Advertisement -

“Kalau kita tubuhkan MAGERAN ke dalam negara kita, ia seolah-olah kita akan mengundur ke belakang. Sebab MAGERAN di sini dia boleh membekukan sesebuah kerajaan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, keputusan yang diambil kerajaan melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mengisyhtihar darurat bagi memerangi Covid-19 telah memberi kesan yang sangat baik dalam memutuskan rangkaian wabak berjangkit itu.

Jelas beliau, situasi hari ini hanya memerlukan darurat bagi menguruskan krisis ekonomi dan kesihatan, bukan darurat disebabkan tercetusnya peperangan.

“Kita ini darurat untuk memutuskan rangkaian Covid-19 sahaja, adapun perkara-perkara lain yang kita boleh putuskan dalam negara kita, kita boleh buat peraturan-peraturan bukan melalui Parlimen.

“Itu kelebihan kita melaksanakan darurat dalam negara kita. Yang ini dia memudahkan kerajaan untuk memberi fokus kepada gejala Covid-19 ini.

“Sebagai contoh, kita nak menggunakan bangunan-bangunan yang ada dalam negara kita untuk kita jadikan pusat kuarantin.

“Kita tidak perlu bawa ke Parlimen, tetapi dalam tempoh darurat ini, kita ada ordinan. Maka kita boleh buat, kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila sudah mendapat perkenan Tuanku, ia sudah menjadi satu benda yang boleh dilaksanakan dari pihak kerajaan. Begitu juga dari sudut kuasa-kuasa.

“Kuasa pihak polis, angkatan tentera, bomba, pihak berkuasa tempatan dan macam-macam. Kita boleh ambil mereka ini dan kita boleh bagi kuasa kepada mereka melalui ordinan-ordinan darurat.

“Dan mereka ada kuasa untuk menangkap, menahan, menyaman mana-mana pihak yang perlu dipersalah dalam rangkaian Covid-19 ini.

“Itu adalah suatu perkara yang memang sangat terkesan untuk memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut kata Ahli Parlimen Pasir Puteh itu, dengan penubuhan MAGERAN, kerajaan akan menjadi beku serta dan sebarang usaha ke arah mencegah Covid-19 tidak dapat dilaksanakan.

Dalam masa sama, tentunya rakyat juga yang akan terkesan secara langsung dari pelbagai aspek hasil daripada tindakan itu, katanya.

“Jadi, dia (penubuhan MAGERAN) tidak rasional dalam waktu yang ada sekarang, bukan bermakna MAGERAN itu tidak sesuai di semua masa, tidak.

“Kita tunggu masa, sekiranya ada suasana dan satu masa yang berhajat kepada MAGERAN, itu cerita lain.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ini, memang kita tidak berhajat kepada MAGERAN ini, memang bendanya mencukupi dengan apa yang kita isytiharkan sebagai darurat,” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa sebarang keputusan yang diperintahkan oleh Agong merupakan satu keputusan yang dibuat secara perbincangan atau musyawarah.

Katanya, keputusan yang dibuat bukan hanya menerima pandangan-pandangam individu dari kelompok kerajaan semata-mata, bahkan turut dibincang pandangan-pandangam daripada pihak pembangkang.

“Ia dibincangkan begitu lumat, sebelum daripada kita putuskan untuk kita isytiharkan darurat dalam negara kita.

“Jadi, latar belakang darurat ini untuk kepentingan rakyat, untuk kepentingan ekonomi, untuk kepentingan keselamatan.

“Ini dia, sebab itulah darurat ini sesuai sebab kita ini, negara yang berhadapan dengan dua benda besar yang sentiasa complicated, yang pertama keselamatan dalam negara termasuk kesihatan, yang keduanya, ekonomi.

“Bagi ekonomi, kalau boleh semua sektor-sektor ekonomi dibuka, bagi kesihatan pula, kalau boleh semua sekali ditutup, jadi disitulah yang menyebabkan kita mewujudkan darurat ini, satu perkara yang sangat rasional dalam negara kita,” jata beliau. – HARAKAHDAILY 12/6/2021

- Advertisement -