YIK sedia pelan bersepadu capai objektif PdPR

- Advertisement -

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU:
Yayasan Islam Kelantan (YIK) menyediakan pelan bersepadu bagi mencapai matlamat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 14 Jun hingga 17 Julai ini.

Pengarahnya, Engku Rajhan Engku Ismail berkata, PdPR disiarkan melalui Facebook YIK sebagai panduan guru untuk menyediakan video dan modul untuk memberikan kefahaman mendalam kepada pelajar.

- Advertisement -

Katanya, tumpuan diberi kepada tingkatan 4, 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan awal tahun hadapan.

“Pelan bersepadu itu merangkumi kaedah penyampaian silibus, kecekapan guru, kesediaan pelajar dan pemantauan kenaziran serta pembabitan ibu bapa secara atas talian,” katanya di sini.

Menurut beliau juga sukatan pelajaran dan buku teks boleh diakses dan dimuat turun melalui blogspot kurikulum.

Manakala guru pula menggunakan aplikasi Telegram untuk memudahkan mereka memeriksa latihan pelajar serta menghantar laporan melalui pautan khusus kepada pengetua dan unit kenaziran untuk pemantauan.

“Pembelajaran secara maya dilaksanakan mengikut kreativiti guru seperti mengambil gambar latihan dalam buku serta merekod suara untuk menggantikan arahan sebagai panduan kepada pelajar menyiapkan latihan.

“Latihan diberikan sebelum menghantar ke kumpulan Whatsapp masing-masing.
Contohnya guru di Maahad Amir Indera Petra, Bachok hanya menjadualkan dua subjek sehari bagi sesi PdPR.

“Mereka membuat semakan kehadiran, pelajar berdepan masalah internet atau ketiadaan gajet dan melaporkannya mengunakan Google Form serta mengemelkan laporan setiap hari Khamis kepada Unit Kenaziran,” katanya.

Engku Rajhan juga berkata, pertemuan antara ibu bapa dengan guru mengikut tingkatan juga diadakan bagi membentangkan laporan prestasi anak mereka yang diadakan diadakan secara maya.

Menurutnya juga suntikan motivasi dan bimbingan kepada guru dan pelajar turut diadakan bagi mengawal emosi dan berketahanan mental bagi menghadapi tekanan dalam melaksanakan PdPR ketika pandemik Covid-19 sekarang.

Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) di atas kerjasama mengadakan kursus pengajaran atas talian kepada guru-guru YIK. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -