Buat-buat bodoh

- Advertisement -

MULANYA aku rasa nak menulis berkenaan politik. Tetapi situasi politik negara, tidak sebagaimana yang diharapkan. Perdana Menteri masih lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, MB Kedah tidak jadi dikutuk, MB Terengganu masih kekal pada posisinya, YDPA juga tidak membubarkan Parlimen sebagaimana yang diuar-uarkan, Mahfuz Omar masih menunggu tawaran merakam album atau single pertamanya dan seperti yang kita semua jangka dan doakan, Anwar masih lagi menjadi Perdana Menteri menunggu. Alhamdulillah tiada perubahan besar politik.

Jadi rasanya sementara menunggu gegaran politik yang mungkin akan dilakukan oleh pembangkang, ada lebih baik kita masuk sekejap ke dapur, tempat wanita berkumpul. Tajuk membawang yang sedang hangat sekarang ialah wanita perlu buat-buat bodoh, supaya tidak kelihatan terlalu berkuasa di hadapan lelaki bagi memudahkan jodoh. Begitulah secara ringkasnya.

- Advertisement -

Kemudiannya datanglah bangkangan daripada golongan terpelajar, tetapi masih mentah dalam pengalaman hidup. Tidak bersetuju kerana wanita mesti disama tarafkan dengan lelaki, sambil mengungkit, ibunya tidak pernah mengajar hal sedemikian. Dan seperti biasa, netizen segera bertindak menjalankan kerja-kerja mereka. Ada yang menyokong pencadang, ada pula menyokong pembangkang. Netizen tak pernah buat-buat bodoh. Yang selalunya akan buat-buat pandai.

Pada setiap perkara dalam perbincangan, kita kena rujuk kepada tanda aras. Tanda aras, jika tidak sama, maka jadilah kita membandingkan oren dengan epal. Tanda aras kita sebagai umat Islam, pastilah kepada apa yang dikehendaki agama. Maka jika dilihat dari sudut pandang agama, merendah diri itu adalah perbuatan mulia, apatah lagi dengan perkara yang bukan dasar. Jika hal asas, barulah kita bangun melawan, tunjukkan kecerdikan kita.

Sudah diperlihatkan kepada kita betapa jika hal-hal yang tidak besar seperti furuk, diperdebatkan kerana mahu mempertahankan kepandaian, akan membawa kepada perpecahan, memutuskan persaudaraan dalam Islam. Tidak sedikit, sehingga ada yang bunuh membunuh. Begitulah kesan daripada membiarkan hal kecil diperbesarkan. Apa yang dimaksudkan ialah lelaki biasanya tidak mahu mengaku kalah. Jadi daripada dilihat panas dengan perkara yang tidak membawa manfaat, lebih baik didiamkan sahaja. Nampak seperti bodoh, tapi menanti peluang lain untuk memperbetulkannya.

Mengheret ibu dalam perbincangan seperti ini, tidaklah membawa apa-apa makna kerana ibu bukanlah rujukan dalam agama. Dan ibu juga bukan satu-satunya manusia yang maksum. Apatah lagi jika si ibu pernah mempertahankan pakaian seksi yang dipakai anaknya. Mata kita boleh melihatnya. Tetapi bila saya sebutkan ini, ia mungkin membawa kepada serangan peribadi. Maaf bukan niat saya tetapi sekadar menyedarkan apa dan siapa tanda aras kita yang sepatutnya. Allah dan Rasul tanda aras kita. Oleh itu, menundukkan diri kepada lelaki, bukanlah sesuatu yang hina jika dipandang dari sisi Islam, asalkan bukan hal yang haram.

Sebab itu Hadis Rasulullah menyebutkan jika ada manusia yang layak disujud, maka akan disuruh isteri sujud kepada suami. Adakah ini merendahkan kemuliaan wanita? Tidak kerana isteri jika rosak, akan rosaklah sekalian rumahtangga. Begitulah keperluan wanita dalam Islam yang tidak disedari. Adakah hina Khadijah apabila habis hartanya kepada dakwah Rasulullah? Jika ia berlaku sekarang, apa tanda aras kita? Mungkin Khadijah akan dikutuk netizen kerana dianggap ‘bodoh’ menghabiskan hartanya kepada Rasulullah.

Ahli politik adalah golongan yang paling pandai buat-buat bodoh. Bayangkan terkadang mereka dihina di hadapan orang ramai oleh orang yang tak tahu adab. Tetapi tetap dilayan dengan senyuman, mengambil semua info-info yang diberikan. Siap bergambar lagi. Ya ia memang untuk satu undi. Satu undi daripada hakim yang bijaksana, sama nilai dengan satu undi daripada penagih dadah yang bodoh. Tetapi akhirnya jika menang, mereka akan mendapat kuasa dan melaksanakan kewajipan mengikut kemampuan. Inilah buat-buat bodoh yang cerdik.

Fitnah paling besar yang disebut Rasulullah ialah wanita. Maka sama-sama kita jaga fitnah ini. Pun begitu, tidaklah dinafikan ramai lelaki yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka, sebagaimana wanita yang keras kepala itu. Lelaki banyak yang merosakkan wanita. Tetapi kesan kepada kedegilan wanita, lebih teruk, sebab fitrah wanita itu sopan dan santun.

Peribahasa orang tua-tua dahulu menyebut memelihara kerbau sekandang lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan. Bukan bermakna anak perempuan itu disamakan dengan kerbau. Tetapi kepayahan menjaga mereka dari fitnah itu. Sebab itu wanita tidak pernah dibiarkan keseorangan. Jika ada ayah, ayahlah walinya, jika tidak, abangnya, datuknya, bapa saudaranya sehinggalah kepada sultan. Menunjukkan kepada betapa seriusnya sayang Allah kepada wanita, takut menjadi fitnah. Adakah golongan sekarang faham hal ini, jika tidak dibaca mengikut tanda aras agama?

Saya tidak mahu mengulas mengenai ramainya wanita yang masih belum berkahwin dan kesannya kepada masyarakat. Mereka juga memerlukan lelaki untuk disayangi. Sebab jika saya bercakap banyak hal ini, nanti dituduh mahu mengambil kesempatan mahu beristeri lebih. Niat saya mahu membantu sahaja, memenuhi slogan poligami adalah mengenai memberikan maksima empat wanita seorang suami sebagai tempat berlindung dan bukannya memberikan suami empat isteri sebagai tempat berseronok. Nampak?

Cerita di bawah bagi anda mengkelasifikasikan adakah ia bodoh, buat-buat bodoh atau buat-buat pandai:

Isteri: Abang kereta enjin mati ini.

Suami: Sebab apa?

Isteri: Entah, nampak macam tanda macam pelita Aladin naik ini, warna merah.

Suami: Ooo minyak pelincir masalah itu. Abang takut minyak kering. Cuba buka bonet enjin tengok.

Isteri: Bukanlah, minyak banyak lagi ini. Minyak kan kat dalam tangki, mana pulak kat enjin.

Suami: Minyak pelincir, bukan petrol.

Isteri: Nak buka macam mana?

Suami: Nampak tak tombol bawah steering itu ada gambar bonet, tarik yang itu.

Isteri: Ok dah tarik. Tapi takleh buka bonet ini.

Suami: Tengok ada lock dia kat bawah itu. Angkat lock itu, lepas itu angkat bonet, sendal dengan batang besi situ.

Isteri: Ok dah buka.

Suami: Nampak tak tangki minyak pelincir. Buka tengok minyak ada ke tak.

Isteri: Mana ada bang tangki minyak itu.

Suami: Ada, carilah penutup warna hitam itu dia tulis OIL.

Isteri: Tak ada lah bang, abang ini entah apa-apa jer.

Suami: Adalah. Tengok betul-betul

Isteri: Dah tengoklah ini, saya ada depan enjin ini, abang bukan ada sini, saya tahulah. Tak ada tudung hitam tulis OIL.

Suami: Macam mana boleh tak ada, ada.

Isteri: Kalau tulis nombor adalah. Nombor 710. Huruf tak ada.

Suami: Snap gambar hantar kat saya.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 11/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -