Perak komited pelihara kelestarian alam sekitar

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Perak sentiasa komited memelihara kelestarian alam sekitar dan memastikan tidak ada pihak yang terkesan daripada program pembangunan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Razman Zakaria berkata, kerajaan negeri memandang serius aduan dan kebimbangan penduduk berkaitan kelulusan tanah kepada Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Katanya, kelulusan milikan tanah kepada PPPNP di wilayah Sungai Betul mukim Bagan Tiang daerah Kerian seluas 200 ekar dilulus pada 2015 bagi tujuan pertanian (penternakan udang).

- Advertisement -

“Tanah tersebut milik kerajaan diserahkan kepada PPPNP pada 2015 dan 2019
masing-masing seluas 200 dan 47 ekar untuk tujuan dimajukan,” katanya pada kenyataan semalam.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya berlaku ketidakseimbangan ekosistem terhadap alam sekitar dan pendapatan nelayan terjejas, kerajaan negeri akan melakukan kajian semula.

Baru-baru ini penduduk mendakwa projek tersebut mengganggu kelestarian alam dan menjejas pendapatan nelayan.

Razman juga berkata, mesyuarat Jawatankuasa Tanah PPPNP dan mesyuarat Lembaga Pengarah PPPNP meluluskan pajakan tanah kepada pihak pengusaha bagi menyumbang perkembangan industri makanan.

Menurutnya bagi kelulusan tanah di wilayah Sungai Megat Aris mukim Bagan Tiang daerah Kerian seluas 48 ekar pada 2019 kepada PPPNP bagi tujuan penternakan udang.

“PPPNP dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah meluluskan sewaan tanah kepada sebuah syarikat untuk tempoh 5 tahun bagi menjalankan projek ternakan udang.

“Kerajaan negeri akan membuat kajian dan mengarahkan pihak berwajib untuk mengesahkan dakwaan tersebut. Kerajaan amat prihatin terhadap kelestarian alam dan pendapatan nelayan,” ujarnya.

Kata beliau kerajaan menerima maklum berkaitan daripada PPPNP dan akan mengambil langkah proaktif dengan mendapat pandangan serta penilaian mengenai kesan pelaksanaan projek tersebut. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -