745 kertas siasatan dibuka majikan langgar Akta 446

Foto daripada Facebook Haji Awang Hashim.
- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Sebanyak 745 kertas siasatan telah dibuka terhadap majikan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak Feb hingga Selasa lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata daripada jumlah itu sebahagiannya telah didenda dan dikenakan kompaun berjumlah lebih RM3.4 juta hasil pemeriksaan terhadap 106,824 penginapan pekerja serta 19,149 majikan di seluruh negara oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKM).

- Advertisement -

“Daripada 745 kertas siasatan itu, sebanyak 125 kes telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen dan 55 kes pendakwaan telah selesai dengan jumlah denda yang dikenakan sebanyak RM361,000.

Selain itu, sebanyak 291 kes telah dikompaun yang membabitkan kompaun bernilai lebih RM3 juta terhadap majikan-majikan yang melakukan kesalahan di bawah Akta 446,” katanya selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kilang di sini hari ini.

Sementara itu, Awang berkata setakat ini sebanyak 2,657 aduan berkaitan isu perburuhan telah diterima menerusi aplikasi Working For Workers sejak ianya dilancarkan 3 Mei lepas.

Katanya, antara aduan diterima termasuk berkaitan ketidakpuasan hati pekerja terhadap pemotongan gaji, dipecat tanpa notis serta dipaksa bekerja ketika PKP.

“Pekerja  boleh mengemukakan aduan dan kita memberi jaminan bahawa identiti mereka dirahsiakan dan aduan yang diterima akan diambil tindakan segera dan dipantau oleh pihak pengurusan tertinggi kementerian,” katanya.

Berkaitan operasi di kilang berkenaan pagi tadi, Awang berkata majikan tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta 446 iaitu tidak mendapat perakuan penginapan daripada JTKM dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Katanya, majikan tersebut turut dikesan gagal memastikan pekerjanya mengimbas QR kod MySejahtera, sekali gus turut melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.

“Kementerian mengingatkan kepada semua majikan dan penyedia penginapan berpusat serta pemain industri secara umumnya agar sentiasa mematuhi akta-akta yang dikuatkuasakan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -