Tegas tangani ketidaksetiaan kepada Institusi Raja

- Advertisement -

YANG di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu mutakhir ini semakin ketara telah diremeh, diperlekeh, dihina, diancam gugat dan cuba dilucutkan dari takhta mereka. Tindakan ini dilakukan oleh segelintir individu yang secara terbuka menyalahguna kebebasan media sosial. Perlakuan biadab, celupar, melampau, ekstrem dan antimonarki mereka secara halus menjadi hasutan.

Walhal Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu merupakan tonggak tertinggi yang menjadi identiti, jati diri, maruah, penyatuan, perundangan, pertahanan dan kedaulatan pertiwi ini. Jika semudahnya institusi ini digoncang oleh sesiapa sahaja, ianya akan membuka jalan untuk meruntuh hancur keseluruhan pasak kekuatan yang ada di bumi warisan Tanah Melayu bernama Malaysia ini.

- Advertisement -

Kerana kini semua perbuatan menyanggah tersebut menjadi normalisasi yang sedang menular bagaikan api dalam sekam dari kudis-kudis dalam kalangan rakyat sendiri. Simptomnya mudah dikenali sepertimana dari sikap-sikap dinyatakan tersebut yang dapat disimpulkan ianya adalah ketidaksetiaan kepada Raja dan Negara. Inilah sebenarnya musuh negara dan pemberontakan yang mesti ditangani.

Kerajaan mesti mengambil langkah segera dan tegas bermula dari pindaan undang-undang berkaitan untuk terus melindungi serta mengukuhkan ketinggian dan martabat institusi ini dari dicabar sewenang-wenangnya. Garis hukuman lebih berat mesti diadakan terhadap pihak-pihak yang berkelakuan seperti dinyatakan agar nanah ini tidak pecah dan membusuk terhadap keharmonian masyarakat.

Pemerkasaan terhadap kefahaman Rukun Negara dan nilai-nilai kasih sayang serta cinta mendalam atau patriotisme kepada tanah air ini mesti disemai secara lebih giat menerusi pendidikan dan perpaduan. Setiap rakyat mesti diwajibkan lulus memenuhi semua lima rukun tersebut sebagai kelayakan asas berserta syarat yang berkaitan Malaysia sebelum layak diberi kewarganegaraan.

Ketika sama, pihak berkuasa keselamatan dan ketenteraman awam diberi peruntukan undang-undang yang lebih padu untuk mencegah dan menangani perbuatan seumpama dari terus berlaku. Usaha mengenal pasti dan menyiasat dalang-dalang berselindung di sebalik angkara tersebut wajib diadakan, terutama dalam kalangan politikus dan mereka yang cenderung dengan kuasa atau anasir luar.

Kerana terang bersuluh, pihak-pihak berkelakuan jelik terhadap Institusi Di Raja adalah kalangan pengejar kuasa yang rakus dan berkepentingan serta beridealogi songsang. Segala sikap pengkhianatan mereka tidak mungkin bersebati dengan kesetiaan yang sejati dan benar. Golongan curang seperti ini hanyalah membawa kerosakan dan kemusnahan kepada kehidupan dan tamadun.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -