Henti polemik politik, fokus tangani Covid-19

- Advertisement -

Oleh MUSTAMAN MUSTAIN

SANDAKAN: PAS Sabah menyarankan semua parti politik di Malaysia agar menghentikan polemik politik sebaliknya memberi fokus terhadap usaha menangani pandemik Covid-19.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ahmad Dullah berkata, pendekatan itu amat penting memandangkan kes harian Covid-19 di Malaysia menunjukkan angka yang amat membimbangkan walaupun kerajaan telah melaksanakan total lockdown.

Tambahnya, catatan kes harian Covid-19 yang tinggi serta kes kematian yang bertambah setiap hari amat menagih semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik untuk bekerjasama mengatasi pandemik ini.

- Advertisement -

“Kejayaan untuk mengurangkan penularan Covid-91 dalam masyarakat banyak bergantung kepada sejauhmana kepatuhan terhadap SOP dan ia amat memerlukan sokongan orang politik bagi menyampaikannya kepada rakyat.

“Justeru itu, semua pihak termasuk parti-parti pembangkang perlu mengambil tanggungjawab serius dan memainkan peranan yang sewajarnya bagi memastikan graf penularan Covid-91 dalam masyarakat dapat dilandaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyarankan orang ramai untuk membuat pendaftaran vaksin Covid-19 serta menyokong usaha itu dan tidak terpengaruh dengan berita palsu tentangnya yang tersebar dalam masyarakat.

“Bukan sahaja kerajaan, malah parti politik pembangkang juga perlu menyokong pengambilan vaksin ini dengan membantu pendaftaran orang ramai serta menggalakkan mereka mengambil vaksin,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan.

Ahmad mengharapkan dengan kerjasama yang utuh antara parti kerajaan dan pembangkang mampu memberi kejayaan kepada negara dalam memerangi pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -