Agong payung negara, mendahulukan kepentingan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menjunjung kasih dan keprihatinan “Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mengharung ujian pandemik Covid-19 yang melanda negara ini. 

“Tuanku sama-sama turun padang mencemar duli melihat sendiri barisan hadapan negara yang berjuang mendepani wabak ini.

“Tuanku umpama payung tempat rakyat berteduh ketika krisis melanda negara,” kata Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Beliau berkata, rakyat masih ingat bagaimana negara menjadi ‘huru-hara’ seketika apabila secara tiba-tiba Perdana Menteri Malaysia meletakkan jawatan pada Februari 2020.

- Advertisement -

Tambahnya, dengan kebijaksanaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, rakyat tenang menghadapi saat-saat getir tersebut.

Sesungguhnya, kata beliau jasa baginda menyelesaikan krisis pada itu amat dikagumi seluruh rakyat jelata.

Begitu juga, ujarnya semasa negara dilanda krisis pentadbiran akibat kerakusan pemimpin pembangkang yang ingin melantik Perdana Menteri mengikut pilihan mereka pada Oktober 2020.

“Tuanku menolak dengan alasan tiada keperluan ketika itu kerana kes Covid-19 sudah mencapai angka ratusan.

“Ini menunjukkan bahawa Tuanku selalu berfikir secara adil dan mendahulukan kepentingan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, kelulusan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2021 pula dibuat setelah melihat bilangan pesakit Covid-19 yang mencecah ribuan.

“Tuanku melihat keperluan darurat ini untuk membolehkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri berjuang melawan penyakit pandemik ini tanpa sebarang gangguan,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, katanya pihak pembangkang diberi peluang menyalurkan pandangan melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Tambahnya, keanggotaan Jawatankuasa Khas itu terdiri daripada parti kerajaan, pembangkang dan profesional yang berkaitan dalam memberikan input dan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Di bawah proklamasi darurat, ujar beliau semua pihak perlu mematuhi arahan apabila diminta oleh Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh baginda untuk menggunakan sumber seperti sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset berkaitan dengannya.

Justeru, kata beliau Dewan Muslimat PAS Malaysia amat mengharapkan semua pihak menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak perlulah kita menimbulkan provokasi dan mencabar Yang di-Pertuan Agong seolah-olah Tuanku tidak mengambil berat keadaan rakyat jelata. Jadilah rakyat Malaysia yang menghormati prinsip Rukun Negara.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kita sama-sama berganding bahu membantu rakyat yang memerlukan ketika ini. Hentikanlah segala tindakan yang merugikan negara dan rakyat amnya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -