Pakatan Harapan pernah berusaha iktiraf ICERD

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Ketika Pakatan Harapan (PH) menguasai negara terdapat usaha untuk mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskiriminasi Kaum (ICERD).

Selain itu terdapat cubaan mengheret Raja-raja Melayu ke kancah politik.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, rakyat sekarang semakin memahami kepentingan sistem Raja Berpelembagaan dalam amalan demokrasi di negara ini.

Katanya ia penting dalam usaha memelihara kestabilan politik serta perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Rakyat kini dilihat semakin bijak menilai kepentingan sistem beraja di negara ini biar pun terdapat usaha pihak tertentu untuk memburukkan institusi berkenaan.

“Namun tindakan berkenaan dilihat hanya memakan diri sendiri sahaja. Sebarang usaha untuk meruntuhkan sistem beraja adalah sia-sia. Rakyat akhirnya mengetahui tujuan sebenar mereka,” katanya di sini.

Menurutnya juga pihak terbabit yang cuba menimbulkan kebencian sistem Raja Berpelembagaan kerana dilihat mengancam kepentingan politik sempit mereka.

Sehubungan itu beliau sebagai mewakili Dewan Pemuda PAS Perlis merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.

“Patik sekalian sentiasa mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan KDYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -