Kpah Sherman, Uche Agba pemain terbaik bulan April

Kpah Sherman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua penyerang import, Kpah Sherman yang mewakili Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Uche Agba dari Sarawak United FC, masing-masing dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Liga Super dan Liga Premier Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) – asiana.my edisi April 2021.

- Advertisement -

Kpah menerima undian tertinggi 40.01 peratus (15,730 undi) mengetepikan cabaran empat calon lain iaitu Mohamad Hakimi Abdullah dari Terengganu FC (29.83 peratus – 11,460), Bergson Da Silva dari Johor Darul Ta’zim (JDT) (13.98 peratus – 5,389), Ifedayo Olusegun dari Selangor FC (11.82 peratus – 4,537) dan Casagrande Anselmo Arruda Da Silva dari Penang FC (3.43 peratus – 1,316).

Pencapaian Kpah itu merupakan anugerah pertamanya, setelah beliau sebelum ini hanya tercalon bagi kategori pemain terbaik bulanan Liga Premier pada Mei 2018, bersama pasukan MISC-MIFA.

Beliau yang teruja dengan penghargaan diterimanya itu berkata, kejayaan berkenaan semuanya tidak akan terjadi tanpa berkat sokongan rakan-rakan, pegawai dan penyokong pasukan KDA FC.

“Terima kasih kepada PFAM mencalonkan saya, dan tidak lupa juga kepada keluarga saya serta penyokong KDA FC yang menterjemahkan sokongan anda kepada undian. Anugerah ini ditujukan kepada anda semua, tanpa sokongan anda hal ini tidak mungkin berlaku,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan PFAM hari ini.

Uche Agba

Sementara itu, Uche Agba menerima undian tertinggi sebanyak 55.37 peratus (14,609 undi) untuk mengungguli pemain terbaik Liga Premier, mengatasi Jordan Mintah dari Terengganu FC II (30.03 peratus – 7,922), Zaquan Adha dari Negeri Sembilan FC (10.26 peratus – 2,708), Fernando Rodriguez dari JDT II (2.73 peratus – 720) dan George Attram dari Selangor FC II (1.61 peratus – 452).

Menurut Uche, pengiktirafan itu ditujukan buat mendiang ibunya yang meninggal dunia pada April lalu.

“Terima kasih kepada PFAM kerana menganjurkan anugerah ini, dan tidak lupa kepada penyokong yang mengundi saya. Kemenangan ini mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan tidak berbelah bagi dari keluarga, rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan. Semoga tuhan merahmati anda semua,” katanya.

Untuk rekod, ini kemenangan kedua Uche selepas muncul sebagai pemain terbaik Liga Premier bagi edisi Julai 2019 bersama pasukan PDRM FA.

Pemenang menerima trofi sumbangan asiana.my, wang tunai RM1,500 (Liga Super) dan RM500 (Liga Premier), selain minuman protein tajaan OPI.

Anugerah itu kini memasuki tahun keenam selepas dimulakan pada 2015 dan sehingga kini lebih 47 pemenang dinobatkan, dengan undian diterima pula lebih daripada 370,000 sepanjang penganjurannya. – BERNAMA

- Advertisement -