PKRC beroperasi di Dewan Al-Farabi esok

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Dewan Al-Farabi Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kedah akan memulakan operasi esok sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) dan mampu menampung seramai 40 orang pesakit.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dewan berkenaan disediakan untuk rawatan kes positif Covid-19 yang berada tahap tiga dan empat.

“Insya-Allah esok dewan ini akan mula berfungsi membawa masuk pesakit positif Covid dan ia boleh menampung 40 katil pesakit,” ujar beliau dalam sidang media sebaik sahaja selesai melawat dewan berkenaan, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, kerajaan negeri sedang membaik pulih Dewan Wawasan di Jitra yang sebahagiannya akan dijadikan PRC dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC).

Walaupun dewan berkenaan lebih besar dan mampu menampung kapasiti lebih ramai namun dsebabkan ia perlu dibaiki terlebih dahulu, maka Dewan Al-Farabi dijadikan alternatif memandangkan semua hospital di negeri itu menghadapi masalah kekurangan katil untuk menampung para pesakit.

‘Oleh itu saya benar-benar mengharapkan semua rakyat Kedah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak ini.

“Malah kos untuk menyediakan keperluan untuk PRC juga agak tinggi. Satu balang oksigen kosnya lebih dari RM7,000 dan perlu direfiil setiap tiga jam sekali,” tambah beliau.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Sanusi mengakui kepayahan dan tekanan yang terpaksa dihadapi oleh para petugas kesihatan.

Beliau difahamkan proses pengebumian pesakit Covid untuk seorang sahaja mengambil masa hampir tiga jam tidak termasuk proses bertayamum.

“Bayangkan kalau dalam sehari itu lebih dari satu kematian berlaku. Tentulah ia memberi tekanan terhadap mereka,” sambungnya lagi.

Justeru itu, beliau mengharapkan proses vaksinasi dapat dipertingkatkan lagi untuk membolehlah lebih ramai menerima suntikan berkenaan.

“Insya-Allah, Jun ini vaksinasi akan ditingkatkan sehingga dua kali ganda. Sasaran lebih dari 50,000 orang boleh disuntik.

“Hospital dan klinik swasta juga kita libatkan bersama untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” ujar Adun Jeneri itu lagi.

Sehubungan itu Sanusi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan semua agensi yang terlibat di atas usaha tidak jemu menangani wabak itu.

“Kita hadapi pandemik ini bersama-sama dan kerajaan negeri bersedia mempastikan rakyat Kedah mendapat vaknisasi sepertimana dijadualkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -