DUN Sarawak kekal berfungsi di bawah Ordinan Darurat

- Advertisement -

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang penggalnya tamat bermula esok, akan kekal berfungsi di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan, kata Yang Dipertuanya Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar hari ini.

Beliau berkata berdasarkan perlembagaan negeri, penggal DUN semasa berakhir selepas 6 Jun (hari ini), iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

- Advertisement -
Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar

Bagaimanapun, peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, katanya. 

“Hari ini (6 Jun) merupakan hari terakhir penggal ke-18 Dewan Undangan Negeri Sarawak. Esok, DUN sepatutnya terbubar selaras dengan Perkara 21(3) Perlembagaan Sarawak.

“(Namun disebabkan penguatkuasaan darurat) DUN dan kesemua 82 ahlinya serta jemaah menteri negeri akan terus berfungsi dan menjalankan tugas di bawah Ordinan Darurat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Asfia berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa DUN Sarawak tidak dibubarkan hari ini dan akan menyambung penggalnya hingga 1 Ogos 2021.

Pada 25 Mei lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati kerajaan Sarawak agar meneruskan fungsinya seperti biasa sekalipun penggal DUN tamat selepas 6 Jun.

Titah baginda kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk terus berfungsi semasa tempoh darurat seperti yang diperkenankan oleh Seri Paduka menerusi Pengisytiharan Darurat, berkuat kuasa sejak 11 Jan lepas hingga 1 Ogos ini. – BERNAMA

- Advertisement -