Aset TLDM banteras pencerobohan kedaulatan negara

- Advertisement -

PELABURAN kerajaan serta keyakinan terhadap keupayaan limbungan tempatan membina bot pemintas baharu TLDM telah membuahkan hasil apabila bot yang baharu beroperasi ini berjaya mengusir sekumpulan bot nelayan asing dan menahan salah satu daripadanya pada jam 1:40 pagi kelmarin di Utara perairan Pulau Tioman, Pahang.

Bertindak daripada maklumat pengesanan radar KD LEKIU, dua bot pemintas Fast Combat Boat (FCB) TLDM yang baharu iaitu FCB 1021 dan FCB 1022 telah bergegas ke lokasi dengan kelajuan melebihi 45 knot. Setiba di lokasi, radar FCB telah berjaya mengesan sekumpulan besar bot nelayan asing, yang dipercayai bot nelayan Vietnam (BNV), sedang mengaut khazanah negara secara haram.

- Advertisement -

Sebaik menyedari kehadiran 2 buah FCB ini, kesemua BNV tersebut telah menghentikan aktiviti mereka dan bergegas melarikan diri ke perairan Antarabangsa. Namun, dengan keupayaan manuvra serta kemahiran pengendalian krew FCB, sebuah BNV dengan 19 awak-awak telah berjaya ditahan dan seterusnya diiringi untuk diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Rompin untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua buah FCB yang baharu selesai menjalani latihan penyesuaian ini dioperasikan oleh seorang pegawai serta 6 orang krew dan kini berada di bawah pemerintahan Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) yang berpangkalan di Tanjung Gelang, Pahang.

Keupayaan FCB TLDM untuk diaturgerakkan dan bertindak dalam tempoh yang singkat diyakini berupaya memberi mesej cegah rintang yang jelas terhadap sebarang cubaan jenayah rentas sempadan. Walau bagaimanapun, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang erat di antara TLDM dengan kesemua agensi yang terlibat, baik dari aspek pembinaan FCB ini mahupun perkongsian maklumat serta pelaksanaan operasi. Terima kasih kepada pihak kerajaan, Kementerian Pertahanan serta pihak limbungan di atas segala usaha menyegerakan proses serta pembinaan FCB ini. Terima kasih kepada komuniti maritim seperti Rakan Maritim TLDM (RAKAM) serta syarikat perkapalan di atas perkongsian maklumat berterusan.

Jutaan terima kasih kepada semua pasukan pertahanan dan agensi penguatkuasa Op BENTENG yang memudahcarakan latihan kemahiran serta penyesuaian operasi FCB di lapangan. TLDM kekal komited bersama semua pasukan serta agensi terbabit bagi memastikan perairan dan kedaulatan negara sentiasa terpeliharan.

BAHAGIAN KOMUNIKASI STRATEGIK MARKAS PEMERINTAHAN ARMADA BARAT LUMUT PERAK – HARAKAHDAILY 6/6/2021

- Advertisement -