Hisbah dan Ustaz Idris Othman

- Advertisement -

KETIKA menatap gambar kenangan mengatur pertemuan Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke rumah Almarhum DS Harusani Zakaria, saya teringat kenangan bersama Almarhum Ustaz Idris Othman. Ustaz Idris juga berasal dari Parit Tok Ngah Tanjung Piandang Parit Buntar. Idolanya adalah Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Mungkin ramai tidak mengenali beliau. Jawatan terakhirnya adalah Hakim Mahkamah Tawau Sabah. Ketika itu juga beliau telah mengatur permulaan tugas sebagai Pengerusi Hisbah Terengganu di bawah almarhum Tun Salleh Abbas. Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab membina draf Enakmen Jenayah Syariah Kelantan berkaitan hudud ketika menjadi penasihat Undang-undang Kelantan. Banyak kisah menarik saya dengannya. Kebetulan beliau menetap di Tawau seorang diri, maka banyak ruang kami berteman.

- Advertisement -

Beliau seorang yang sangat gigih. Bertugas di bidang undang-undang selama 25 tahun. Ditukarkan sebanyak 26 kali. Tidak hairanlah beliau menjadi rujukan undang-undang pimpinan PAS. Saya biasa mendengar Almarhum Ust Fadzil Nor dan Tuan Guru Nik Aziz menghubungi beliau berkait undang-undang. Biasanya beliau berkongsi apa yang disembangkan jika bukan rahsia.

Beliau seorang yang sangat berintegriti. Tidak langsung mahu menggunakan kedudukannya. Hari terakhir saya melakukan aktiviti bersamanya dengan jamaah Masjid Quba Tawau ialah menjala ikan di sungai. Beliau mengadu sakit dada. Petang esoknya saya mendapat panggilan beliau mengatakan ditahan di Hospital Tawau. Mulanya beliau ditahan di wad kelas tiga hinggalah pegawai mahkamah datang menziarahi. Mereka terkejut kerana seorang hakim diletakkan di kelas tiga. Kalut hospital apabila tahu beliau adalah seorang hakim senior mahkamah. Beliau bercerita yang dia berbaris sama dengan orang lain mengikut giliran. Beliau langsung tidak menggunakan keistimewaannya sebagai pegawai kelas satu kerajaan.

Mungkin atas integriti yang tinggi itu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersetuju beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya pertama Hisbah Kerajaan Terengganu pimpinan Tuan Guru sebagai Menteri Besar. Walaupun duduk di bawah Tun Salleh Abas sebagai Pengerusi Jawatankuasa namun Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri yang menawarkan jawatan itu. Bagai orang mengantuk disorong bantal katanya. Beliau yang sangat mengkagumi Tuan Guru tidak melepaskan peluang mendampingi Menteri Besar Terengganu ketika itu. Tuan Guru bersama Almarhum Tun Salleh Abbas sangat komited menjaga integriti Kerajaan Terengganu pimpinan PAS. Dalam tempoh pimpinan Tuan Guru sebagai Menteri Besar, tiada langsung isu integriti malah sembang kosong tuduhan rasuah pun tiada kedengaran.

Jawatankuasa Hisbah adalah satu badan khas yang diwujudkan Kerajaan Terengganu ketika itu dan diluluskan pada tahun 2000 oleh DUN Terengganu. Ia bertanggungjawab memantau perjalanan pemimpin kerajaan supaya sentiasa menjaga integriti. 

Sebagai jamaah Islam dan parti politik, komitmen PAS ini cuba diterjemahkan di peringkat Persekutuan. Ketika dibentuk Kerajaan Perikatan Nasional, PAS melalui Presiden parti menyatakan sokongan kepada kerajaan di samping menuntut agar Menteri dilantik dari kalangan mereka yang berintegriti dan profesional. PAS juga mencadangkan ditubuhkan jawatankuasa Hisbah. Walaupun menyedari Kerajaan PN adalah kerajaan yang lemah di sudut majoriti dan PAS adalah minoriti dalam kerajaan, namun PAS tetap cuba membawa aspirasi parti sebaik mungkin.

Apa yang diharapkan, impian Almarhum Ustaz Idris Othman dan Almarhum Tun Salleh Abbas akan terus hidup dan dilaksanakan di negeri pimpinan PAS terutama Terengganu yang telah ada enakmen tersebut. Walaupun PAS belum mampu melaksanakan di peringkat pusat, namun wakil PAS yang dilantik perlu menunjukkan contoh tauladan terbaik.

Mungkin impian pelaksanaan Hisbah boleh diwujudkan dalam Muktamar PAS sebagai bukti komitmen PAS dalam menjaga integriti kepimpinan politik di Malaysia yang telah dicemari pelbagai isu yang menghilangkan keyakinan rakyat kepada ahli politik. Pastinya Islam Memimpin Perubahan. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -