INDERA MAHKOTA: Masih terdapat seramai 60 peratus daripada 1.2 juta rakyat negeri ini yang berumur 18 tahun ke atas belum mendaftar dalam Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) untuk menerima suntikan tersebut.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Jawatankusa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, hanya baharu 40 peratus rakyat negeri ini mendaftar setakat 31 Mei.
Sehubungan itu, bagi mewujudkan imuniti kelompok yang perlu dicapai sekali gus mengawal penularan dalam masyarakat, penduduk negeri ini serunya mesti segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan itu.
“Berilah dorongan dan semangat kepada mereka untuk mendaftar kerana ada di kalangan mereka yang takut dengan propaganda yang dibawa oleh golongan antivaksin, dengan pelbagai isu yang tidak berasas.
“Bantulah mereka sekiranya mereka menghadapi masalah untuk mendaftar, terutama bagi mereka yang tidak mahir dalam penggunaan aplikasi di atas talian,” katanya lagi.
Menurutnya lagi pembelian vaksin sedang giat dilakukan oleh kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk termasuk merunding semula jadual penghantaran.
Andansura yang juga ADUN Beserah menyeru kepada semua pihak dapat memainkan peranan dalam usaha membantu meningkatkan kesedaran dan menaikkan peratus jumlah pendaftaran vaksinasi mencapai angka memuaskan.
“Saya seru kita jadikan Pahang negeri pertama mencapai rekod sasaran pendaftaran vaksinasi. Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera,” ujarnya selain memberi tahu pautan https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/ dan https://vaksin.pahang.gov.my/frmSemak.php.
Beliau seterusnya mengharapkan agar rakyat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan berjuang untuk mencapai kemenangan dalam menghadapi pandemik ini. – HARAKAHDAILY 4/6/2021