Kes kontak rapat jangkitan tertinggi Covid di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Saringan kontak rapat merupakan jangkitan tertinggi di negeri Kedah sehingga sekarang iaitu sebanyak 54.8 peratus.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkembangan kadar jangkitan itu menunjukkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat masih lagi lemah.

“Patuhilah SOP dengan bersungguh-sungguh terutama dalam tempoh dua minggu total lockdown sekarang,” katanya di sini.

- Advertisement -

Di Kedah sekarang terdapat 332 kes positif Covid sedang dirawat di hospital, 59 kes dirawat di Unit Kawalan Rapi (ICU) dan lapan kes di PACU.

Selain itu seramai 2,227 kes dikuarantin di rumah di mana Kuala Muda antara daerah paling ramai.

Bagaimanapun Menteri Besar melahirkan rasa bimbang mereka yang dikuarantin di rumah kerana tidak ada pihak yang memantau.

“Jadi saya harap yang dipakaikan gelang pink duduklah di rumah sehingga sembuh,” kata beliau lagi.

Malah di Kedah sehingga sekarang terdapat 110 kluster, di mana 40 masih aktif manakala 70 daripadanya sudah tamat.

Difahamkan kebanyakan kluster yang aktif berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan aktiviti keagamaan pada Ramadan lalu.

Manakala jangkitan lain dikenal pasti berpunca daripada saringan kluster (17.9 peratus), kendiri (3.7 peratus), saringan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan – PKPD (4.3 peratus) dan bergejala (19.3 peratus.

Selain itu juga Kedah sehingga sekarang mencatatkan 93 kes kematian akibat Covid-19 yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Pendang, Langkawi, Padang Terap, Kota Setar dan Yan.

Daerah Kota Setar menunjukkan angka paling tinggi iaitu 30 kes kematian. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -