Gerakkan JPKK galak warga emas terima vaksin

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mencadangkan agar khidmat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di setiap negeri dapat digerakkan dalam usaha menggiatkan lagi pertambahan warga emas mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, inisiatif itu wajar disahut oleh negeri di bawah pemerintahan parti Islam itu supaya dapat memberi galakan dan nasihat kepada orang-orang kampung atau penduduk tempatan bagi mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

- Advertisement -

Menurutnya, para pemimpin di setiap kawasan juga berperanan dalam menyebarkan kebaikan serta manfaat dengan pengambilan vaksin berkenaan kepada masyarakat.

“Mungkin juga pemimpin-pemimpin kita yang berumur 60 tahun ke atas yang telah menerima vaksin digalakkan juga untuk membuat video-video galakan ataupun ucapan-ucapan dalam ceramah ataupun dalam kuliah-kuliah yang diberikan secara dalam talian pada hari ini.

“Ramai ustaz yang berceramah secara dalam talian eloklah memasukkan saranan untuk warga emas ini menerima ataupun mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin,” katanya kepada HarakahDaily hari ini.

Beliau yang juga seorang pengamal perubatan tidak menafikan bahawa terdapat sebilangan besar warga emas yang enggan menerima suntikan vaksin dengan alasan tidak lagi berhajat untuk mengerjakan haji atau umrah.

Justeru saran beliau, anak-anak perlu memainkan peranan menasihati ibu bapa mereka agar menerima suntikan vaksin demi kebaikan diri mereka sendiri serta orang di sekeliling.

“Sekiranya mereka tidak mengambil vaksin ini mereka boleh menjadi pembawa kepada penyakit Covid-19, boleh membawa risiko kepada ahli keluarga mereka termasuklah anak-anak ataupun cucu-cucu mereka apabila mereka bertemu dengan ahli keluarga yang lain,” ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya turut menyeru kepada semua ahli-ahli mereka untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin serta hadir ke Pusat-Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdekatan dengan segera. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -