Politik negara haram Israel: Individu berbeza perangai tetap sama

- Advertisement -

SUDAH dua minggu telah berlangsung gencatan senjata di antara rejim zionis Israel dan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza.

Gencatan senjata yang diusahakan Mesir itu masih tidak nampak tanda-tanda kebaikan untuk Palestin melainkan untuk Mesir dan negara haram Israel sendiri.

Semenanjung Gaza yang hancur dibedil roket pesawat pejuang rejim zionis Israel masih tetap sama, dipenuhi dengan runtuhan bangunan, jumlah penduduk Semenanjung Gaza yang hilang tempat berteduh bertambah, kesukaran mencari sumber pendapatan serta dinafikan hak sebagai manusia oleh rejim zionis Israel.

Menurut World Health Organization (WHO) dalam laporan terbaharunya, lebih 200,000 penduduk Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza memerlukan bantuan kesihatan dan itu tidak termasuk lagi penularan wabak pandemik Covid-19 yang agak tinggi sekarang di mana hospital dan pusat-pusat kesihatan di Semenanjung Gaza masih lagi tidak mempunyai kelengkapan dan ubat-ubatan yang mencukupi untuk menghadapi krisis ini.

- Advertisement -

Serangan bertali arus selama 11 hari oleh tentera rejim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza telah banyak memusnahkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik serta sistem pembentungan dan loji pembersihan air yang menyebabkan keadaan kesihatan menjadi agak kritikal di Semenanjung Gaza saat ini.

Bantuan yang diterima oleh penduduk Palestin di Semenajung Gaza saat ini masih belum mencukupi untuk menampung keperluan seperti perubatan, makanan, penjagaan diri, sanitasi dan pelbagai keperluan lagi. Ada juga kalangan negara di dunia yang tidak mahu memberikan bantuan kerana Semenanjung Gaza di tadbir oleh Hamas dan menggangap Hamas sebagai pertubuhan pengganas.

Alhamdulillah bantuan dari Aid4Palestine telah mula tiba dan diagih-agihkan di Semenanjung Gaza hasil sumbangan rakyat Malaysia yang setakat ini telah mencapai lebih RM17 juta. Insya-Allah dengan sumbangan yang masih lagi diterima, akan banyak lagi manfaat yang bakal diperolehi oleh penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Ini tidak termasuk lagi kos pembangunan semula Semenanjung Gaza yang dianggarkan menelan belanja berbillion dolar oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia akibat daripada kemusnahan yang dilakukan oleh regim zionis Israel sejak sekian lama.

Sememangnya dalam apa keadaan sekalipun, Palestin tetap sama, hancur, musnah dan dirampas hak serta negaranya oleh rejim zionis Israel. Selagimana tidak mendapat pembelaan sewajarnya terutamanya dari umat dan Dunia Islam, nasib Palestin dan rakyatnya menjadi semakin buruk dan mampu lenyap dari peta dunia.

Namun ketika berlangsungnya gencatan senjata, perseteruan politik yang berlaku di negara haram Israel menarik minat ramai dan menjadi tumpuan di seluruh dunia terutamanya negara-negara Dunia Islam kerana ramai yang berpandangan Benjamin Netanyahu keras, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Selama 12 tahun menjadi Perdana Menteri negara haram Israel, tempoh yang paling lama dalam sejarah negara haram Israel, beliau telah melakukan banyak onar dan kerosakan terhadap Palestin baik di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Hakikatnya semua yang mentadbir negara haram Israel adalah sama iaitu penjajah yang zalim dan tidak berperikemanusiaan namun nama Netanyahu akan terpahat sebagai mungkin yang paling zalim dan kejam.

Khamis lalu, ketua lapan buah parti utama di Israel telah bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran bagi menumbangkan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri negara haram Israel namun ia memerlukan masa selama seminggu untuk diangkat ke Knesset Israel iaitu Parlimen Israel untuk diluluskan.

Dalam masa sama, Benjamin Netanyahu telah memulakan gerakan untuk menggagalkan penubuhan kerajaan campuran tersebut dengan berusaha untuk mendapatkan kembali sokongan kerana sebilangan besar parti-parti yang bersama gagasan baharu itu adalah parti yang bersama dalam kerajaannya ketika ini.

Apapun konflik politik negara haram Israel, itu tidak menjadi persoalan utama dan perkara pokok kerana siapa sahaja yang memimpin Israel, polisi, kezaliman dan pejajahannya ke atas Palestin tetap sama namun sebagai persediaan, kita sebagai umat dan negara Islam harus tahu siapa yang bakal memerintah negara haram Israel dan kemungkinan akibatnya terhadap Palestin dan rakyatnya serta umat Islam secara keseluruhan.

Ketika ini muncul dua nama yang amat jarang didengari oleh umat dan Dunia Islam yang dikatakan bakal menerajui negara haram Israel secara bergilir menjadi Perdana Menteri jika diluluskan Knesset Israel iaitu Naftali Bennett dan Yair Lapid.

Naftali Bennett adalah seorang ekstremis zionis yang merupakan pemimpin parti New Right sejak ditubuhkan pada tahun 2018. Beliau juga adalah bekas ketua kakitangan Benjamin Netanyahu dari tahun 2006-2008. Pernah menjadi Menteri Ekonomi dan Hal Ehwal Agama, Menteri Pendidikan dan yang terakhir sebagai Menteri Pertahanan di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu.

Sebagai seorang pemimpin utama parti berhaluan kanan dan ultra zionis Israel, sudah tentunya banyak tindakan, idea dan pelan Naftali Bennett bakal mengundang bahaya serta mampu mengancurkan Palestin.

Pada Februari 2012, Naftali Bennett telah menerbitkan sebuah pelan untuk menangani konflik Palestin-Israel iaitu The Israel Stability Initiative. Pelan tersebut adalah pelan jangka panjang negara haram Israel untuk mendominasi Palestin dan menjadi sebuah negara tunggal tanpa wujudnya Palestin.

Beliau juga adalah orang yang menjadi tunjang utama yang menyokong pengambilalihan sepenuhnya Tebing Barat menjadi wilayah Israel dan juga orang yang paling kuat menentang penubuhan negara Palestin. Dalam satu temuramah dengan majalah The New Yorker pada 2013, Naftali Bennett memberitahu majalah tersebut bahawa beliau akan melakukan apa sahaja dengan kuasa yang ada padanya supaya negara Palestin tidak akan wujud.

Ketika menjadi Menteri Ekonomi dan Hal Ehwal Agama pada tahun 2013 dalam satu mesyuarat kabinet, Naftali Bennett menyatakan bahawa beliau tiada masalah untuk membunuh orang Arab kerana telah melakukannya sepanjang hidupnya dan kemudiannya menambah “jika ternampak pengganas iaitu pejuang Palestin, kita jangan ragu-ragu untuk membunuh mereka“.

Dalam satu temuramah dengan akhbar The Guardian pada tahun 2013, beliau meyatakan yang beliau tidak mahu membuang masa membicarakan tentang konflik Palestin-Israel dan mempertahankan pelannya untuk mengambilalih Tebing Barat sambil tidak memperdulikan kecaman antarabangsa.

Kata Naftali Bennett “Tidak akan wujud sebuah negara Palestin di atas sekecil-kecil tanah Israel. Itu tidak akan berlaku dan penubuhan sebuah negara Palestin akan menjadi malapetaka hingga 200 tahun akan datang“ sambil merujuk kepada kawasan di sepanjang Lembah Jordan hingga ke Laut Mediterranean.

Naftali Bennett juga adalah seorang pendokong kuat pembinaan penempatan haram untuk pendatang haram yahudi di Palestin. Yesha Council, sebuah organisasi zionis berkenaan pembinaan penempatan haram untuk pendatang haram yahudi di mana Naftali Bennett pernah menjadi pengarah turut menyokong penubuhan kerajaan campuran baharu yang dipimpin Naftali Bennett dan Yair Lapid.

Yesha Council, sebuah organisasi yahudi yang memperjuangkan pembinaan penempatan baharu untuk pendatang haram yahudi melalui Pengerusinya David Elhayani dalam kenyataan terbaharu beliau memberitahu bahawa kerajaan campuran baharu yang bakal mentadbir negara haram Israel telah berjanji tidak akan membekukan pembinaan penempatan baharu untuk pendatang haram yahudi di Tebing Barat walaupun melepasi garisan hijau iaitu Timur Baitul Maqdis dan malah turut memberitahu pemimpin gabungan baharu tersebut bahawa Yesha Council akan menarik semula sokongan jika mereka gagal menunaikannya.

Malah ketika Donald Trump memenangi pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada November 2016, Naftali Bennett menyatakan bahawa ia adalah harapan awal kepada Israel yang solusi penubuhan dua negara akan berakhir sambil menambah “Era penubuhan negara Palestin sudah berakhir, yang wujud hanya Israel“.

Tidak banyak yang diketahui tentang Yair Lipid secara amnya. Beliau merupakan pemimpin parti Yesh Atrid, sebuah parti berhaluan tengah dan juga merupakan ketua pembangkang dalam Knesset Israel. Sebelum menyertai politik pada tahun 2012, beliau adalah seorang penulis, penyampai berita dan personaliti televisyen.

Pernah menjadi Menteri Kewangan ketika menubuhkan kerajaan campuran bersama parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu pada tahun 2013. Dinobatkan sebagai orang yahudi paling berpengaruh di dunia serta juga dinobatkan sebagai pemikir polisi luar terbaik dunia pada tahun 2013 yang hakikatnya hanya untuk kepentingan negara haram Israel.

Walaupun berpandangan sederhana atau centrist dalam politik Israel, beliau sebenarnya adalah sama dengan kebanyakkan pemimpin negara haram Israel yang sebenarnya langsung tidak memperdulikan Palestin walaupun secara zahirnya nampak bertolak ansur dalam isu Palestin-Israel.

Walau apa sekalipun yang berlaku kepada politik dalaman negara haram Israel, umat dan Dunia Islam seharusnya bersedia untuk terus menyokong Palestin dan rakyatnya serta pembebasan sepenuhnya Palestin dari cengkaman dan penjajahan rejim zionis Israel yang akhirnya akan direalisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.

Namun kemungkinan ada sedikit kebimbangan terhadap kerajaan campuran baharu Israel yang bakal dinobatkan Knesset Israel tidak lama lagi kerana majoriti parti yang menggangotai kerajaan campuran tersebut adalah parti berhaluan kanan ultra zionis Israel yang sememangnya dalam kehendak dan cita-cita mereka adalah sebuah negara haram Israel yang meliputi keseluruhan tanah Palestin.

Bukan sahaja umat dan negara Dunia Islam harus bersedia untuk dilema baharu ini tetapi OIC mahupun Liga Arab perlu bersiap sedia bangkit membela Palestin, bukan sekadar hanya berforum, mengeluarkan kenyataan, mengecam dan berunding yang sejak sekian lama langsung tidak membawa manfaat kepada Palestin dan rakyatnya.

Satu tindakan dan keputusan tegas perlu diambil dalam usaha untuk membebaskan Masjidil Aqsa dan Palestin kerana konflik ini sudah berlarutan cukup lama dan telah mengakibatkan kehancuran tamaduan dan kemusnahan bumi Palestin di samping memakan korban yang cukup besar dalam kalangan rakyat Palestin.

Palestin adalah penentu masa depan dan kesatuan umat serta Dunia Islam di seluruh dunia. Selagi mana isu Palestin gagal ditangani dan menjadi igauan ngeri umat dan Dunia Islam, selagi itulah bermakna umat dan Dunia Islam gagal dan tidak mempunyai pengaruh serta kesatuan yang cukup kuat di seluruh dunia.

Sudah sampai masanya umat dan Dunia Islam sedar dan bangkit kembali mengatasi kelemahan ini namun perkara utama yang perlu diatasi ialah perseteruan dan perbezaan yang mengakibatkan perpecahan selama ini. Jika ini berjaya diatasi percayalah, kesatuan dan perpaduan yang dicitakan selama ini akan menjadi kenyataan serta pembebasan Palestin akan berjaya direalisasikan.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -