Kompleks kita hampir siap

- Advertisement -

HARI demi hari makin terzahir rupa sebenar Kompleks PAS Kedah. Mengikut jadual asal, bulan Jun ini sudah siap sepenuhnya pembinaan kompleks. Kekangan dari wabak COVID-19 dan PKP melambatkan sedikit gerak kerja pembinaan.

Kompleks ini adalah simbol permuafakatan dan kesungguhan para pimpinan, ahli serta penyokong PAS Kedah. Ia juga lambang pengorbanan dan kerjasama erat PAS negeri, dewan-dewan dan kawasan.

Pejabat pentadbiran PAS Kedah bermula di sebuah rumah di Guar Chempedak Yan di awal tahun 50-an. Kemudian berpindah ke Jalan Telok Wanjah Alor Setar pada tahun 1964. Kedua-dua pejabat ini beroperasi di rumah yang disewa.

- Advertisement -

Awal tahun 1968 PAS Kedah berjaya membeli tanah di Jalan Sultan Badlishah (Jalan Kota Alor Setar) dengan harga RM40,000 untuk dibina bangunan sendiri. Bulan Ogos 1968 bangunan setinggi 4 tingkat mula dibina dan siap pada tahun 1970 dengan kos sebanyak RM173, 000.00.

Kepesatan pembangunan Alor Setar, kesesakan lalu lintas, masalah parking serta lain-lain tuntutan semasa, menyebabkan sekali lagi dalam tahun 2006 pejabat pentadbiran PAS Kedah berpindah pula ke bangunan baru di Kompleks PAS sekarang ini.

Kompleks PAS yang baru ini, dibina di atas tanah seluas 11.5 relong yang dibeli pada awal tahun 2000 dengan harga RM390,000.00. Anggaran awal kos keseluruhan pembinaan kompleks ialah RM 9 juta.

Pemimpin PAS Kedah serta ahli-ahli sudah bersilih ganti. Usaha untuk membangunkan bangunan milik PAS Kedah ini berkesinambungan. Al-Marhum Ustaz Fadhil Nor sempat merasmikan Sambutan Jubli Emas Peringkat Negeri Kedah di tapak kompleks PAS hari ini. Ketika itu tanah baru ditambun dan belum ada lagi apa-apa bangunan. Kini kompleks utama sudah hampir siap, di samping dewan, masjid dan bangunan Daya. Kita yakin, pembinaan akan terus berjalan tanpa henti kerana PAS akan terus memiliki ahli serta penyokong yang istiqamah menginfaqkan harta.

Sebenarnya perkembangan PAS Kedah, pejabat pentadbiran serta aset milik PAS di peringkat negeri, kawasan dan cawangan mempunyai sejarah yang amat panjang. Banyak tenaga, wang ringgit, masa, peluh, bahkan darah yang tumpah. Terlalu banyak nama individu yang berjasa tidak mampu dicatat. Hanya Allah yang mampu membalas jasa dan pengorbanan semua yang terlibat. Semoga kita adalah sebahagian dari mereka. Sumbangan dari Tuan dan Puan dialu-alukan.

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -