PAS Kedah alu-alukan Tabung Bencana Covid-19

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tindakan PAS Pusat mewujudkan Tabung Bencana Covid-19 amat dialu-alukan demi membantu golongan yang terkesan dan terjejas.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya, dalam kenyataannya hari ini berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pelbagai bantuan untuk rakyat namun langkah yang diambil oleh PAS boleh membantu melebarkan lagi jumlah penerima.

“PAS Kedah menyambut baik usaha yang dilakukan oleh PAS Pusat ini kerana dalam suasana sekarang ramai yang terkesan dengan bencana Covid ini,” ujar beliau.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, sungguhpun begitu, penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Malaysia tidaklah seteruk yang dialami oleh rakyat Palestin.

Katanya, di Malaysia, walaupun ramai yang terjejas pendapatan akibat wabak Covid namun dalam masa yang sama masih ada yang mempunyai lebihan harta dan mampu untuk menghulurkan derma.

“Sedekah ini disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh At-Thabrani, bermaksud, sesungguhnya sedekah itu benar-benar akan dapat memadamkan panasnya alam kubur bagi penghuninya, dan orang mukmin akan bernaung di bawah bayang-bayang sedekahnya.

“Jadi berpandukan hadis itu, setiap kita yang menyumbang, menderma atau bersedekah, tidak akan sia-sia sebaliknya menjadi penolong di alam sana nanti,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara itu telah mengeluarkan arahan agar semua PAS kawasan di Kedah mewujudkan Bilik Gerakan Bantuan Covid.

Arahan itu juga melibatkan dewan-dewan dan cawangan-cawangan PAS seluruh negeri.

Dalam masa yang sama, Ahmad mengharapkan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) berfungsi sebagai ‘mata telinga’ untuk memastikan golongan yang benar-benar terkesan dengan wabak ini menerima bantuan dari kerajaan di kampung masing-masing.

“Saya juga mengambil kesempatan di sini, mengalu-alukan agar semua rakyat merasa bertanggungjawab untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Ini merupakan satu ikhtiar untuk memutuskan rantaian pandemik selain menjaga nyawa, keselamatan diri sendiri dan orang lain,” sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -