Tamat Darurat: JK Khas Bebas perlu lebih aktif

- Advertisement -

BEBERAPA hari kebelakangan ini terdapat perbincangan hangat berkaitan penamatan Darurat khususnya berkaitan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas. Kenyataan terbaru dari Majlis Presiden Pakatan Harapan menyebut bahawa wakil mereka dalam jawatankuasa berkenaan berpendapat bahawa Darurat yang sedang berkuatkuasa sekarang adalah tidak diperlukan dan perlu ditamatkan.

Sebelum itu, satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat telah menghantar surat memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menerima petisyen rayuan menamatkan Darurat. Kumpulan itu mendapat sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut menyertai penyerahan surat berkenaan dan perhimpunan kecil yang diadakan di luar Istana selepas itu.

Malaysia kini berada dalam keadaan Darurat sejak Proklamasi Darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri. Pengisytiharan dibuat selepas Seri Paduka Baginda telah berpuas hati bahawa adanya keperluan mengeluarkan Proklamasi Darurat yang membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius.

- Advertisement -

Bila bercakap soal penamatan Darurat, persoalan besar yang perlu ditanya ialah, siapakah yang berhak untuk menamatkan Darurat? Untuk menjawab soalan ini, maka kita perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan dan juga Ordinan Darurat. Perkara 150(1) menyebut berkenaan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pengisytiharan Darurat. Walaupun tidak disebut secara nyata, kuasa untuk menamatkan Darurat terangkum di dalam kuasa berkenaan. Walau bagaimanapun, berdasarkan prinsip umum Perlembagaan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 40, kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Darurat perlu dilaksanakan berdasarkan nasihat yang diberikan oleh Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.

Apa yang menarik, tarikh penamatan Darurat 2021 telah pun ditetapkan dalam pengisytiharannya. Dalam Proklamasi Darurat yang diwartakan pada 12 Januari 2021 (P.U.(A) 7), disebut secara jelas bahawa proklamasi berkenaan ‘hendaklah meliputi seluruh Persekutuan mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021’.

Persoalannya, adakah Darurat yang diisytiharkan ini boleh tamat lebih awal, atau dilanjutkan? Jawapannya ya. Ini kerana Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, menyebut bahawa: Maka hendaklah diwujudkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan Darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan, berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Virus Corona 2019 (COVID-19). 

Jika diteliti Seksyen 2 ini, kita dapat faham bahawa kuasa Jawatankuasa Khas Bebas ini amat signifikan untuk menentukan tempoh Darurat. Perdana Menteri ketika mengumumkan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 menyebut bahawa Jawatankuasa Khas Bebas ditubuhkan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada Darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Beliau menyebut bahawa, kaedah ini dibuat bagi menjamin pelaksanaan tempoh Darurat dibuat secara adil dan telus.

Hal ini bermakna, jika ada desakan untuk penamatan Darurat lebih awal, ia sepatutnya ditujukan kepada Jawatankuasa Khas Bebas ini. Pihak Pakatan Harapan sepatutnya bertemu dan berbincang dengan Jawatankuasa Khas Bebas untuk mendesak agar nasihat dapat diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi penamatan awal Darurat. Langkah ini tentunya bukanlah sukar, kerana dalam Jawatankuasa Khas Bebas itu sendiri terdapat wakil-wakil dari parti Pakatan Harapan iaitu YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, YB Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Seremban dan YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor. Jika ada data dan fakta kukuh yang dapat menyokong hujah bahawa Darurat perlu ditamatkan segera, maka mereka tentunya boleh menyampaikannya dalam perbincangan di peringkat Jawatankuasa Khas Bebas.

Saranan ini membawa kepada satu persoalan lain iaitu, adakah Jawatankuasa Khas Bebas mempunyai wibawa sebagai mekanisme ‘semak dan imbang’ dalam membuat keputusan berkaitan Darurat ini. Sebenarnya konsep ‘semak dan imbang’ telah pun sedia wujud dengan adanya Jawatankuasa Khas Bebas. Kehadiran wakil-wakil dari parti pembangkang, bersama-sama wakil parti-parti kerajaan serta tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mewujudkan suasana kesepakatan secara harmoni dalam membuat keputusan yang besar demi untuk kepentingan rakyat. Sebarang syor dan cadangan sepatutnya dibuat berteraskan hujah-hujah yang jitu dengan merujuk kepada fakta dan data, bukannya andaian kosong, persepsi atau emosi.

Perlu diingat juga bahawa, Jawatankuasa Khas Bebas adalah satu jawatankuasa yang unik. Pertamanya, kuasa yang diberikan kepada jawatankuasa ini untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah satu bentuk peruntukan kuasa yang luar biasa kerana dalam amalan biasa nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong diberikan oleh Jemaah Menteri. Melalui kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150, peranan pentadbiran sepanjang tempoh Darurat 2021 diserahkan kepada pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan negeri yang sedia ada, tetapi peranan untuk menentukan tempoh Darurat diberikan secara khusus kepada Jawatankuasa Khas Bebas ini. 

Selain itu, keistimewaan Jawatankuasa Khas Bebas ini ialah dari sudut kedudukannya untuk memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa campur tangan Jemaah Menteri atau Perdana Menteri. Keistimewaan ini dapat difahami melalui kuasa yang diberikan dalam Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021. Prinsip utama jawatankuasa ini ialah kebebasan, keadilan dan ketelusan. Perkataan ‘bebas’ pada nama jawatankuasa ini menunjukkan bahawa ia perlu terpisah dari pengaruh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Walau bagaimanapun, dengan wujudnya desakan berterusan berkaitan penamatan Darurat, terdapat persoalan besar berkaitan keberkesanan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas dalam memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam hal ini, aspek yang perlu diberikan perhatian ialah ketelusan Jawatankuasa Khas Bebas dalam menjalankan tugasnya. Walau pun nasihat yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong perlu dilaksanakan dengan penuh berhemah dan tertakluk kepada beberapa peraturan kerahsiaan, rakyat tidak boleh dibiarkan tertanya-tanya tanpa sebarang maklumat dan perkembangan berkaitan keputusan-keputusan semasa Jawatankuasa Khas Bebas.

Alangkah baiknya jika Jawatankuasa Khas Bebas membuat pembentangan secara berkala berkaitan ‘kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan’ akibat wabak COVID-19 dengan merujuk kepada dapatan kajian dari pelbagai aspek. Melalui pemakluman secara berkala, umpamanya sekali setiap bulan, rakyat akan mendapat gambaran yang jelas mengenai kewajaran Darurat, dan kenapa ia masih dikekalkan. Jawatankuasa Khas Bebas juga wajar membuat jangkaan serta perancangan penamatan Darurat dengan merujuk fakta-fakta yang relevan misalnya unjuran penurunan kes dan perkembangan program vaksinasi.

Ringkasnya, peranan Jawatankuasa Khas Bebas sepatutnya bukan sekadar menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong , tetapi perlu menunjukkan kepada awam bahawa nasihat yang dikemukakan itu adalah nasihat yang berwibawa dan berasas. Keprihatinan tinggi rakyat, kesedaran hak demokratik dan keterbukaan sistem maklumat pada hari ini menuntut pihak Jawatankuasa Khas Bebas agar bertindak dengan lebih proaktif, berkesan dan meyakinkan.

Sebenarnya komposisi Jawatankuasa Khas Bebas yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sudah cukup hebat, berwibawa, seimbang dan mewakili pelbagai kelompok. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria ini mengandungi mereka yang berpengalaman dari aspek pengurusan kesihatan, pentadbiran, keselamatan, agama, perundangan dan ekonomi. Begitu juga wakil-wakil parti kerajaan dan parti pembangkang terdiri daripada tokoh-tokoh yang berwibawa dan aktif. Oleh yang demikian, Jawatankuasa Khas Bebas ini sepatutnya mampu berperanan dengan lebih berkesan dan cekap dalam menangani kegusaran rakyat berkaitan tempoh Darurat yang sedang berkuatkuasa.

Mungkin ada yang mengaitkan keberkesanan kecekapan Jawatankuasa Khas Bebas dengan komposisi anggotanya yang melibatkan latar belakang yang terlalu berbeza antara satu bidang dengan bidang yang lain. Tambahan pula kewujudan wakil pembangkang dan wakil kerajaan dalam satu jawatankuasa mungkin dianggap boleh menyebabkan ia sukar untuk mencapai keputusan yang jitu akibat pertikaian berterusan yang mungkin wujud di kalangan mereka. 

Dalam hal ini, semua pihak sewajarnya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kumpulan atau parti sendiri. Setiap pendirian dan keputusan perlu dibuat berteraskan data dan fakta. Jawatankuasa Khas Bebas sebenarnya boleh mewujudkan pasukan kerja khas dalam bentuk jawatankuasa teknikal yang ditugaskan untuk mengumpulkan maklumat dan data menyediakan bahan-bahan rujukan dan membuat analisis awal yang dapat dijadikan asas kepada keputusan yang hendak dibuat. Jawatankuasa teknikal ini juga perlu bebas, dan meliputi pelbagai bidang yang relevan sesuai dengan kedudukan dan komposisi Jawatankuasa Khas Bebas.

Selain itu, sebagai satu badan yang proaktif, Jawatankuasa Khas Bebas sepatutnya bersedia membuka perbincangan melalui ruang awam sama ada dalam bentuk sesi dialog bersama rakyat, pendengaran awam, pameran atau taklimat media. Kemudahan teknologi semasa wajar digunakan sepenuhnya untuk berinteraksi dengan orang awam termasuklah melalui persidangan atas talian dan sebagainya. Media sosial termasuk facebook, twitterdan lain-lain juga boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan dapatan dan pemakluman berkala.

Langkah begini tentunya tidak bertentangan dengan etika, fungsi dan bentuk Jawatankuasa Khas Bebas, bahkan ia selari dengan matlamat penubuhannya. Langkah berani dan proaktif begini amat diperlukan bagi memenuhi hasrat yang dinyatakan dalam penubuhannya iaitu sebagai satu institusi yang bebas, adil dan telus. 

Dari sudut yang lain pula, kegagalan Jawatankuasa Khas Bebas untuk bersikap bebas, adil dan telus akan memberi kesan kepada Yang di-Pertuan Agong yang menerima nasihat bagi melaksanakan keputusan berkaitan tempoh Proklamasi Darurat yang sangat besar dan memberi kesan langsung kepada rakyat. Yang di-Pertuan Agong selaku Raja Berperlembagaan terikat untuk bertindak berdasarkan nasihat daripada pihak yang diberikan peranan untuk menasihati. Kesan yang buruk akan menimpa institusi Istana jika pihak yang sepatutnya memberikan nasihat secara adil dan tepat gagal melaksanakan tugasnya akibat kepincangan dalam proses membuat keputusan. 

Semua institusi pemerintahan dalam negara mempunyai peranan masing-masing. Yang di-Pertuan Agong yang menjadi payung kepada rakyat sentiasa berfungsi sebagai faktor penyatu dan pengimbang, sesuai dengan konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Manakala institusi yang diberi peranan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, termasuklah Jawatankuasa Khas Bebas, perlu memenuhi amanah ‘nasihat’ itu sesuai dengan kewibawaaan dan harapan yang tinggi yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Oleh yang demikian, pihak Jawatankuasa Khas Bebas mempunyai kewajipan untuk memberikan nasihat yang terbaik, bahkan perlu bertindak proaktif. Rakyat mengharapkan agar Jawatankuasa Khas Bebas dapat tampil secara terbuka bagi menerima pandangan rakyat serta menjelaskan status dan tempoh darurat berasaskan maklumat yang jelas, berfakta dan terkini. 

PROFESOR MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pusat Polisi Perdana
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 1/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -