Titah Sultan Muhammad V wajib dilaksana wakil rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kota Bharu menyanjung tinggi hasrat Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V supaya wakil rakyat membantu rakyat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, saranan itu amat tepat dan wajib dilaksanakan segera oleh semua wakil rakyat di Kelantan.

“Selaku Ahli Parlimen Kota Bharu saya menjunjung kasih ke hadapan Tuanku al-Sultan Kelantan di atas titah baginda yang menzahirkan betapa prihatin dan caknanya Tuanku terhadap rakyat.

- Advertisement -

“Untuk itu Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu mengambil langkah sewajarnya bagi membantu memudahkan rakyat berdaftar dan memperolehi tarikh mendapatkan suntikan vaksin,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas Takiyuddin menawarkan saguhati sebanyak RM20 bagi mereka yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Bayaran saguhati itu akan diberi bermula 30 Mei dengan mengemukakan tuntutan di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu.

Menurut pegawai khas Ahli Parlimen Kota Bharu, Suhaimi Mat Zin, insentif itu dibayar kepada penduduk yang tinggal di kawasan parlimen Kota Bharu.

“Ketika mengemukakan tuntutan mereka perlu membawa kad pengenalan untuk semakan dan pengesahan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi Mysejahtera,” katanya di sini.

Tuntutan itu boleh dibuat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu atau boleh menghubungi talian 09-7473688.

Takiyuddin juga berkata, sedikit saguhati kewangan turut disumbang kepada mereka yang mengambil vaksin bagi membantu meringankan perbelanjaan mereka.

“Saya sekali lagi menyeru seluruh rakyat Kelantan segera tampil mendaftar untuk mendapatkan vaksin sebagai usaha dan ikhtiar kita mendapat pelindungan daripada jangkitan virus Covid-19.

“Bagi mereka yang telah berdaftar dan mendapat tarikh suntikan diharap dapat hadir ke Pusat Pemberian Vaksin yang ditetapkan tanpa gagal,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -