Kerajaan tambah RM1 bilion perkukuh kesihatan awam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertambahan peruntukan itu adalah komitmen Kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak runtuh dan beroperasi dengan berkesan.

- Advertisement -

“Sebanyak RM450 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan Covid-19.

“Bukan sahaja di Hospital seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta melalui hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk RM200 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada 22 Mei baru-baru ini,” katanya dalam

Tambah beliau lagi, sebanyak RM550 juta diperuntukkan untuk menampung keperluan perbelanjaan berkaitan Covid-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan Covid termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak.

“Ini juga termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 atau PKRC di MAEPS dan di peringkat negeri,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, hari ni.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022.

Tambahnya lagi, sebagai tambahan, kerajaan akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak.

Untuk rekod, nilai keseluruhan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA PLUS) adalah sebanyak RM40 bilion, di mana suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM5 bilion. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -