Imam, bilal, siak, guru takmir dicarum PERKESO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 25,634 imam, bilal, siak, noja, marbut, dan guru takmir di seluruh negara mendapat perlindungan dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang disalurkan kerajaan, bermula tahun ini.

- Advertisement -

Manakala, seramai 35,000 guru KAFA menerima caruman PERKESO sejak 2019.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, jumlah tersebut terdiri daripada 22,504 orang imam, bilal, siak, noja, marbut dan 3,130 orang guru takmir.

Katany, PERKESO yang dicarum akan menawarkan pilihan caruman yang diinsuranskan sebanyak RM19.40 sebulan bersamaan dengan RM232.00 setahun.

Dengan inisiatif itu kata Dr Zulkifli, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM6 juta untuk disalurkan kepada PERKESO bagi tahun ini sahaja.

“Saya juga difahamkan bahawa Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (PERKESO) ini menawarkan beberapa manfaat atau faedah yang merangkumi faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional serta daedah pendidikan.

“Selain imam, bilal, siak, noja, marbut dan guru takmir, JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) turut memperuntukkan sebanyak RM6.9 juta setiap tahun sejak 2019 untuk caruman PERKESO kepada 35,000 orang guru KAFA.

“Peruntukan tersebut disalurkan kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri (PBAN) selaku Agensi Pelaksana KAFA di negeri-negeri.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PERKESO yang telah mengurus dan menawarkan faedah dan manfaat yang amat baik kepada golongan ini.

“Saya juga menaruh harapan agar skim ini boleh dijadikan sebagai Dasar Baru yang berterusan di masa akan datang,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -