Terengganu sedia khidmat urus penerima vaksin

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu mengambil langkah lebih agresif bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan menyelesaikan masalah vaksinasi dengan melaksanakan kempennya di seluruh negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Vaksinasi PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kempen vaksinasi sedang dilaksanakan dan arahan telah dikeluarkan kepada semua Kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, langkah yang lebih agresif telah dimainkan di peringkat Pusat Khidmat Masyarakat DUN dan Penyelaras DUN bagi menjayakan kempen tersebut.

“Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) telah bermesyuarat dan kita telah menubuhkan satu Jawatankuasa Vaksinasi PAS Terengganu, yang dipengerusikan oleh Exco Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Alias Razak dan saya timbalannya.

“Kita telah buat pengarahkan kepada semua PAS Kawasan-kawasan supaya menggerakkan aktiviti mendaftarkan rakyat di kawasan masing-masing, dengan MySejahtera ataupun melalui kutipan nama-nama menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Saya mendapat maklumat bahawa semua DUN, Daerah dan Kawasan telah pun mengambil tindakan dan mendaftarkan mereka di kalangan rakyat untuk divaksinkan melalui MySejahtera dan ada yang terus kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Kedua, yang kita lakukan sekarang ini ialah kempen besar-besaran melalui semua wakil rakyat di semua DUN. Kita jejaki semua rakyat di kampung-kampung, kita daftarkan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam, di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menjelaskan, setiap DUN dan Penyelaras DUN menyediakan perkhidmatan mengurus penerima suntikan vaksin yang bermasalah.

Katanya, semua Pusat Khidmat DUN menyediakan kenderaan bagi membawa penerima suntikan vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Bagi mereka yang telah berdaftar dengan MySejahtera dan telah dapat tarikh tetapi bermasalah untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), semua Pusat Khidmat DUN menyediakan kenderaan untuk membawa mereka ke tempat vaksinasi itu.

“Ambil mereka di rumah dan hantar balik ke rumah. Usaha ini menunjukkan agresif yang dilakukan oleh semua Pusat Khidmat Masyarakat ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan penyelarasnya di seluruh negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau mendapat maklumat, ada beberapa daerah dimaklumkan pihak Jabatan Kesihatan sedia membuka ruang terutama kepada warga emas 60 tahun ke atas mendapatkan suntikan lebih cepat.

“Sekarang ini di beberapa daerah, kita dapat maklumat Jabatan Kesihatan (Terengganu) membuka ruang yang luas terutama kepada warga emas, yang berumur 60 tahun ke atas untuk terus dapatkan suntikan tanpa perlu tunggu panggilan.

“Tetapi, dengan syarat mereka perlu dapatkan pengesahan kesihatan terlebih dahulu daripada pihak klinik kesihatan, sebelum disyorkan oleh doktor vaksin jenis apa yang sesuai.

“Mereka boleh datang terus ke pusat vaksinasi untuk dapatkan suntikan vaksinnya,” ujar beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri Terengganu.

Mengikut rekod, sehingga 30 Mei, sejumlah 339,233 individu telah berdaftar untuk vaksinasi atau 40.30 peratus dan 76,919 orang telah divaksinkan di 14 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -