Allah tidak menjauhi kita, kita yang alpa dari-Nya

- Advertisement -

KETIKA Allah beri peluang boleh solat rapat-rapat di Masjid, kamu tak hadir. Lalu Allah halang kamu solat rapat saf. Allah masih beri peluang kamu ke Masjid dengan saf dijarakkan, tapi kamu masih tak datang. Lalu Allah hadkan kehadiran kamu ke rumahnya dengan kadar 20 orang. Tapi kamu masih tak mahu datang, bahkan kamu salahkan orang. Lalu Allah halang terus kamu dari mengunjungi rumahNya. Peluang kamu semakin sempit.

Ketika Allah beri kamu peluang datang ke majlis ilmu, kamu buat tak endah, kamu sibuk dengan bisnes kamu, kamu sibuk dengan tugasan kamu, kamu sibuk mengejar kerehatan dunia. Lalu Allah halang kamu dari hadir ke taman syurgaNya. Dengan semua saluran kuliah bersemuka ditutup oleh Allah. Tapi ingat, kalau peluang kuliah online yang kamu tak perlu keluar dari rumah, tak perlu bayar saguhati guru, tak perlu habis duit minyak, ini pun kamu acuh tak acuh. Jangan pelik kalau nanti Allah putuskan kamu dari kuliah online pula. Waktu itu kamu terpinga-pinga dalam kejahilan dalam dunia yang semakin sempit. Waktu itulah Allah menyentap roh kamu.

- Advertisement -

Ketika Allah masih izinkan kamu perbetulkan keadaan dengan meminjamkan kamu nyawa. Sedangkan sudah ribu orang Allah matikan mereka di sekeliling kamu lantaran COVID-19 ini. Tapi kalau kamu masih leka dengan peluang yang ada. Kamu masih habiskan masa dengan menyambung fitnah di media sosial. Kamu masih sibuk berkongsi kata-kata jahat bersama rakan-rakan maya kamu. Kamu masih leka layan Tik Tok. Kamu masih happy dan melupai taubat, lupai Quran dan melupai munajat.

Maka jangan menyesal jika selepas ini kamu tidak punya peluang lagi. Sekadar itu sahaja ingatanku untukmu teman. Mudah-mudahan pesananku ini bermanfaat kepadaku dan kepadamu.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -