‘Total lockdown’: Peniaga akui menjaga nyawa lebih utama

Foto daripada Facebook Polis Kedah.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Tidak dapat dinafikan pelaksanaan total lockdown fasa satu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Mei lalu mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Tindakan itu kata mereka memberi kesan kepada  ekonomi sedangkan ia belum pulih sepenuhnya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.

- Advertisement -

Bagaimana rata-rata bersetuju keputusan berkenaan berikutan kes positif Covid-19 semakin meningkat, namun berharap penyelesaian yang tuntas agar pandemik itu segera berakhir.

Saiful Jihad Ahmad

Seorang peniaga warung makanan Saiful Jihad Ahmad berkata, tindakan kerajaan itu dapat membendung pergerakan orang ramai daripada bebas ke sana sini.

Katanya, walaupun total lockdown akan menjejaskan pendapatannya sebagai peniaga namun daripada sudut lain iaitu nyawa dan keselamatan rakyat lebih utama sekarang.

“Kita pun takut dengan kes Covid yang sangat tinggi ini. Jadi dengan cara tersebut dapat mengekang semaksimanya pergerakan orang ramai,” ujar beliau ketika ditemui di sini

Katanya juga dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh membuktikan kerajaan serius menangani wabak dan sekali gus dapat menyanggah tohmahan sesetengah pihak.

Sungguh pun begitu, Saiful berharap penguatkuasanya lebih serius dan memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan ramai mengambil pendekatan acuh tidak acuh.

Seorang surirumah Rahmah Sulaiman pula berharap usaha kerajaan untuk membanteras Covid yang semakin ganas sekarang berjaya.

“Kasihan frontliners kita sudah letih. Semakin hari kes semakin bertambah. Jadi semua rakyat perlu kerjasama agar total lockdown ini berjaya mengurang kes jangkitan,” katanya yang tinggal di Kuala Kangkong.

Ujarnya lagi, tidak perlu melayan rungutan sesetengah pihak kerana beliau yakin setiap keputusan yang dibuat kerajaan ada jalan penyelesaiannya dan mengambil kira setiap aspek.

Rahmah mahu kerajaan bersikap tegas terhadap sesiapa yang melanggar SOP yang ditentukan Majlis Keselamatan Negara.

“Kita sama-sama ada rasa tanggungjawab, jangan dah kena diri sendiri baharu nak sedih dan sedar,” luah beliau.

Shukriah Shaari

Cikgu Shukriah Shaari juga menganggap keputusan total lockdown amat wajar terutama bagi membendung penularan wabak yang kini merebak sehingga ke institusi pendidikan.

“Peningkatan mendadak ini juga memberi kesan kepada guru-guru dan pelajar. Jadi kami warga pendidik  menyokong ia dilaksanakan demi menjaga nyawa dan kemaslahatan rakyat.

“Selagi pandemik tidak berakhir atau beransur pulih selagi itulah institusi pendidikan kita akan tergendala proses pengajarannya dan akan memberi kesan kepada pelajar walau pun diganti dengan pembelajaran secara PdPR,” ulasnya.

Oleh itu, beliau turut menasihatkan pelajar agar akur dengan arahan kerajaan dan terus berada di rumah serta sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Azhar Ibrahim

Langkah total lockdown turut disokong Adun Ayer Hitam, Azhar Ibrahim, walaupun ia akan menjejaskan ekonomi negara.

Sungguh pun begitu katanya, tindakan itu membuktikan kerajaan serius menjaga nyawa dan kesihatan rakyat apatah lagi situasi sekarang yang agak membimbangkan.

“Kerajaan mengambil langkah yang tepat untuk mengawal penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan. Namun kejayaannya  bergantung kepada kerjasama semua pihak.

“Saya berharap rakyat akan patuh kepada arahan dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Insya-Allah, kita boleh menang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -