Pemuda PAS sedia jayakan Kempen ‘Jom Vaksin’

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bersedia menjadi tulang belakang, membanting tenaga dan kerahan untuk menjayakan kempen ‘Jom Vaksin’.

Ketuanya, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata bagi memastikan program berjalan dengan jayanya, pemuda PAS turut serta menyahut tanggungjawab dengan merangka program amal vaksin.

“Program ini dirangka bagi sama-sama menjayakan kempen ‘Jom Vaksin peringkat PAS Malaysia’ di mana program amal vaksin ini merangkumkan pelbagai sektor di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan kerjasama dewan-dewan yang lain dan pihak kerajaan.

“Ianya bagi meningkatkan bilangan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dalam kalangan ahli PAS dan juga rakyat Malaysia,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Jom Vaksin ‘Lindung Diri, Lindung Semua’, bersiaran langsung secara maya di laman Facebook Rasmi PAS Pusat, malam tadi.

Turut serta pada majlis tersebut, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Menteri MOSTI, Dato’ Ahmad Amzad Hashim; Ketua Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr. Mohd Mazri Yahya; Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Muslimat, Pemuda dan Himpunan Pendukung PAS Malaysia serta Dr Firdaus Azmi sebagai moderator.

Mengulas lanjut mengenai kempen, Khairil berkata empat strategi telah dirangka di bawah program amal tersebut.

Antaranya memberi penerangan mengenai Covid-19 dan PICK; memudahcara pendaftaran orang awam untuk PICK; pemantauan rekod pendaftaran terhadap PICK di setiap peringkat dewan pemuda PAS kawasan dan cawangan; serta kerjasama dengan agensi pelaksana kerajaan dan pihak berwajib.

“Pertama program kesedaran kepada ahli dan rakyat di antara lain ialah usrah penerangan atau video klip ringkas oleh doktor-doktor perubatan PAS sama ada mereka ini dalam kalangan Pemuda PAS, Muslimat PAS ataupun PAS Pusat sendiri.

“Selain kempen tolak berita palsu, kempen kesedaran patuh SOP; penerangan kepada ibu bapa khususnya kepada anak-anak di bawah jagaan sistem pendidikan PAS, sama ada daripada peringkat TASTI, PASTI, SRITI, SMITI dan juga kolej-kolej di bawah PAS.

“Kedua program amal iaitu kita akan turun ke lapangan untuk memberikan penerangan dan tunjuk ajar pendaftaran MySejahtera dalam talian, media sosial dan panggilan telefon.

“Kita akan membuka kaunter-kaunter bantuan pendaftaran di lokasi-lokasi strategik dengan kerjasama pihak keselamatan.

“Kemudian kita akan bersama dengan pihak berwajib untuk menjelajah ke kawasan-kawasan yang rendah pendaftarannya termasuklah dengan kerjasama ahli parlimen setempat,” katanya.

Beliau turut menggesa golongan muda di dalam PAS sama ada daripada DPPM, Dewan Muslimat PAS atau Dewan Ulamak PAS, untuk bersama-sama mendaftarkan diri sebagai sukarelawan MyVac.

“Menjadi sukarelawan ini, kita akan berusaha menjejak dan mengiringi golongan yang memerlukan bantuan untuk vaksin.

“Kita juga berharap dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada di peringkat parti contohnya markas-markas yang terbabit, atau yang sesuai untuk dipertimbangkan oleh kerajaan dijadikan tempat Pusat Pemberian Vaksin untuk membantu memudahkan capaian imunisasi peringkat kebangsaan.

“Kerjasama dan sokongan semua pihak dengan izin Allah SWT amat penting untuk kita menjayakan usaha memerangi wabak Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -