Elak pembelian panik, barang keperluan mencukupi

Dato' Wan Romani Wan Salim
- Advertisement -

POKOK SENA: Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat pembelian panik (panic buying) berikutan pelaksanaan total lockdown bermula 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, Wan Romani Wan Salim, berkata Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) negeri memberi jaminan bekalan barangan keperluan pengguna adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan itu.

“Orang ramai jangan bimbang, keperluan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan ini,” katanya.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, seperti yang diumumkan kerajaan, sepanjang tempoh total lockdown fasa pertama sehingga 14 Jun ini, semua sektor sosial dan ekonomi akan ditutup.

Namun penutupan itu, jelasnya tidak membabitkan sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Selain memastikan barangan keperluan mencukupi KPDNHEP juga akan membuat pemantauan bagi mempastikan tidak berlaku kenaikan harga barang,” ujar Adun Bukit Pinang itu lagi.

Oleh itu katanya, pemeriksaan dan pemantauan itu akan melibatkan 169 Pegawai Penguatkuasa dan 52 Pegawai Pemantau Harga.

Selain itu pemeriksaan secara harian juga akan diadakan untuk memastikan keperluan utama pengguna seperti barangan basah dan kering mencukupi.

Berikutan itu KPDNHEP telah melantik 180 Peruncit Daerah Terpilih (DDR) dan 52 Pemborong Daerah Terpilih (DDW) bagi memastikan kedudukan bekalan semasa tidak terjejas.

“Antara barangan keperluan itu seperti gula, minyak, tepung, beras,telur dan lain-lain,” tambah beliau.

Sehubungan itu pengguna boleh membuat aduan sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan peniaga melalui beberapa aplikasi, talian, email yang telah dikenalpasti.

Antaranya, melalui portal [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU atau email [email protected].

Selain itu pengguna boleh menghubungi Hot Line 1800 886 800, Enforcement Command Centre (ECC) Kedah 04-7001745 atau terus WhatsApp ke talian 019- 279 4317. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -