PKPD: Terengganu salur bantuan bersasar RM420,000

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum tentang pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang pelaksanaan total lockdown di seluruh negara bermula 1 sehingga 14 Jun ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berikutan itu kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan bersasar kepada yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Berang dan Daerah Kuala Terengganu, dengan jumlah keseluruhan RM420,000.

Sebelum ini, ujarnya kerajaan negeri juga telah menyediakan bantuan bersasar kepada Daerah Besut yang dikuatkuasakan PKPD.

“Saya meminta rakyat untuk kekal bertenang dan sentiasa patuh kepada arahan dan SOP.

“Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni, sebaliknya marilah kita berganding bahu dan bersatu hati untuk memutuskan rangkaian Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau menyeru rakyat supaya teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian itu segera berakhir dan kehidupan kembali normal seperti biasa.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD yang dilaksanakan di Terengganu, membabitkan 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu bermula 30 Mei hingga 12 Jun ini.

Mukim terbabit ialah Mukim Manir, Mukim Bukit Besar, Mukim Pengadang Buluh, Mukim Belara, Mukim Paloh, Mukim Kubang Parit, Mukim Serada, Mukim Rengas, Mukim Chendering, Mukim Bandar, Mukim Chabang Tiga, Mukim Kepong, Mukim Gelugur Kedai, Mukim Kuala Ibai, Mukim Atas Tol, Mukim Tok Jamal, Mukim Losong, Mukim Batu Buruk, Mukim Pekan Chabang Tiga, Mukim Pulau Pulau dan Mukim Gelugur Raja.

Sebelum itu, Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu diletakkan dalam PKPD bermula hari ini hingga 11 Jun. – HARAKAHDAILY 29/5/2021

- Advertisement -