7,478 kes baharu Covid-19, rekod tertinggi Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kes baharu Covid-19 di Malaysia terus melonjak kepada 7,478 kes dalam tempoh 24 jam, sekali lagi merekodkan angka tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dalam laman Twitter memaklumkan, Selangor kekal sebagai negeri mencatat kes harian tertinggi dengan 2,455 kes, diikuti Kuala Lumpur (760), Sarawak (640), Johor (587), Kelantan (547), Kedah (542) dan Pulau Pinang (420).

- Advertisement -

Selain itu, Negeri Sembilan merekodkan 370 kes, Perak (264), Melaka (230), Sabah (229), Terengganu (177), Pahang (171), Labuan (49), Putrajaya (29) dan Perlis (lapan).

Kes harian tertinggi negara sebelum ini dicatat semalam dengan 7,289 kes.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata setakat 13 Syawal atau 25 Mei, sebanyak 12 kluster komuniti (subkluster berkaitan sambutan hari raya) dikesan melibatkan tujuh negeri yang menjangkiti 470 kes.

Menurut infografik yang dikongsikan, Sabah didapati mempunyai empat kluster, Kelantan dan Labuan masing-masing dua kluster, manakala Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor masing-masing satu kluster.

Empat kluster di Sabah ialah Kluster Melikal, Kluster Deluxe, Kluster Abaka dan Kluster Muhibbah Dua, manakala di Kelantan (Kluster Kampung Pangkal Payung, Kluster Kepulauan Tumpat) dan Labuan (Kluster Simpang Sahari dan Kluster Patau-Patau).

Selain itu, Pahang dikesan terdapat Kluster Jalan Dara; Pulau Pinang (Kluster Padang Lalang Dua); Sarawak (Kluster Taman Sourabaya Indah) dan Selangor (Kluster Jalan Tahir Manan).

“Sebanyak 2,541 kes telah disaring, satu kes disahkan meninggal dunia melibatkan Kluster Jalan Tahir Manan di Selangor dan dua kes ICU (Unit Rawatan Rapi) melibatkan Kluster Simpang Sahari di Labuan. Jumlah ini dijangka bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri…,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -