Polis tubuh pemantau patuh SOP di peringkat mukim

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan menubuh kumpulan pemantauan pematuhan SOP di peringkat mukim bermula hari ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, inisiatif itu mendapat lampu hijau daripada Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar dan diketuai pegawai daerah di seluruh negeri itu.

- Advertisement -

Pelaksanaan PKP 3.0 lebih ketat kata beliau, akan menghadkan lagi aktiviti dan pergerakan rakyat termasuk perniagaan yang diarah memulakan operasi jam 8 pagi dan berakhir 12 jam kemudian.

“Jawatankuasa memutuskan menubuhkan satu lagi kumpulan pemantauan pematuhan SOP di peringkat mukim dan daerah yang diketuai pegawai daerah.

“Bermula hari ini mereka diberi kuasa yang mungkin akan melakukan sekatan di peringkat mukim dan kampung bagi mengawal pergerakan sebab sekarang aktiviti perniagaan dibenarkan sehingga 8 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada rancangan live dikendalikan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) dihos Azimi Mahmood disiarkan secara langsung melalui Kelantan TV hari ini.

Shafien juga berkata, tidak semua premis perniagaan dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam, sebaliknya kedai farmasi masih diberikan kebenaran sehingga 10 malam.

Jelasnya, usaha tersebut menjadikan orang ramai tidak mempunyai alasan kukuh untuk keluar rumah selepas 8 lapan malam, melainkan bagi tujuan membeli ubat-ubat atau mendapat nasihat perubatan di farmasi.

Kata beliau polis tidak mahu memberi beban kepada rakyat dengan jumlah kompaun yang besar, sebaliknya meminta mereka bersama-sama barisan hadapan menyekat penularan wabak tersebut dengan mematuhi SOP.

“Selepas jam 8 malam pergi farmasi sahaja yang dibenarkan sampai jam 10 malam, jadi selepas itu tiada alasan kita berada di luar rumah, tiada pergerakan keluar rumah.

“Mulai hari ini anggota penguatkuasa dipecah dalam kumpulan akan bergerak di seluruh daerah, mukim dan kampung. Jika seseorang pergi premis tidak memakai pelitup, dia akan tegur dan beri amaran pertama.

“Jika perlanggaran SOP masih berlaku bagi kali kedua, polis akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -