Pendekatan seimbang wujudkan daya tahan pelbagai sektor

PM kongsi inisiatif Malaysia di Perbincangan Meja Bulat Pemimpin Komanwel Rantau Asia

- Advertisement -

YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyertai Perbincangan Meja Bulat Pemimpin Komanwel Rantau Asia yang dipengerusikan oleh Yang Mulia Putera Charles. Putera Diraja Wales yang berlangsung secara maya pada semalam. 24 Mei 2021.

Perbincangan Meja Bulat turut dihadiri Presiden Maldives dan Sri Lanka serta Perdana Menteri Bangladesh dan Singapura. Presiden Rwanda merangkap bakal Pengerusi Mesyuarat Ketua Kerajaan Commonweal (Commonwealth Heads Of Government Meeting — CHOGM). Perdana Menteri United Kingdom dan Setiausaha Agung Komanwel juga turut serta di perbincangan Meja Bulat tersebut.

- Advertisement -

Semasa Sesi Meja Bulat tersebut, YAB Perdana Menteri telah menekankan keutamaan yang telah diambil oleh Malaysia untuk mencapai keseimbangan di antara melindungi kesihatan dan nyawa dengan memastikan kelangsungan ekonomi dalam menangani wabak COVID-19. YAB Perdana Menteri turut membincangkan usaha yang telah dilaksanakan di dalam menjana ekonomi kitaran (Circular Economy) di dalam rancangan pembangunan Malaysia sebagai salah satu pendekatan untuk perubahan sistemik ke arah penjanaan peluang dan perniagaan hijau yang lebih berdaya tahan. YAB Perdana Menteri juga menekankan kejayaan Malaysia dalam menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam matawang Dolar AS (US Dollar), di mana hasil dari penerbitan sijil kewangan Islam ini akan membiayai projek – hijau hijau yang sejajar dengan Agenda Pembangunan Lestari 2030.

Perbincangan Meja Bulat ini antara lain, turut membincangkan isu-isu utama yang boleh ditangani oleh Komanwel, seperti isu-isu berkaitan pendekatan pemulihan hijau: peralihan ke ekonomi hijau: dan tindakan kolektif menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-26 (COP26). Perbincangan Meja Bulat ini juga telah membuka peluang kepada para pemimpin untuk berkongsi inisiatif dan amalan baru dalam usaha mereka untuk mengembalikan dan mempercepatkan pemulihan ekonomi disebabkan oleh wabak COVID-19 melalui inisiatif ekonomi kitaran: transformasi industri karbon; dan pembiayaan hijau yang mampan.

Putera Charles turut menggalakkan pemimpin Komanwel untuk mendorong sektor swasta menyertai Inisiatif Pasaran Mampan (Sustainable Market Initiatives), yang dipimpin sendiri oleh beliau, yang dijangka berkemampuan untuk membantu syarikat-syarikat swasta untuk beralih ke perniagaan berasaskan ekonomi hijau yang lebih cekap dan mesra alam.

PEJABAT PERDANA MENTERI
Putrajaya
25 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -