Terus sokong Palestin hingga capai kemerdekaan

- Advertisement -

SEMALAM telah masuk hari ke-3 berlangsungnya gencatan senjata antara HAMAS yang mentadbir Semenanjung Gaza dengan regim Zionis Israel yang menjajah Palestin. Sepanjang 11 hari berlangsungnya pengeboman berterusan regim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza, seramai 248 orang telah terkorban termasuk 66 kanak – kanak dan 39 wanita termasuk lebih 2,000 orang yang mengalami kecederaan.

Sebaik sahaja diumumkan gencatan senjata, puluhan ribu rakyat Palestin sama ada di Semenanjung Gaza mahupun Tebing Barat memenuhi jalan raya menyambut berita gembira tersebut dan kemenangan ke atas regim Zionis Israel yang tidak mampu menewaskan mahupun menghapuskan pejuang Palestin serta perjuangan warga Palestin.

- Advertisement -

Namun pada hari pertama gencatan senjata tersebut, regim Zionis Israel telah melakukan onar dengan menyerang rakyat Palestin yang berada di Masjidil Aqsa dan perkarangannya ketika solat Jumaat termasuk menangkap ramai di kalangan mereka.

Pada pagi ini (waktu Gaza) iaitu hari Ahad, sekali lagi berlakunya pencerobohan ke atas Masjidil Aqsa apabila sekumpulan pendatang haram Yahudi dengan dikawal polis regim Zionis Israel memasuki perkarangan Masjidil Aqsa, menari di salah satu pintu masuk Masjidil Aqsa dan mengelilingi Masjidil Aqsa.

Ia adalah satu provokasi yang tidak bertamadun dan biadab terhadap umat Islam dan Masjidil Aqsa di mana ia telah menimbulkan kemarahan warga Palestin yang berada di situ. Akhirnya berlakulah pertembungan yang menyaksikan polis regim Zionis Israel melakukan intimidasi dan tangkapan terhadap rakyat Palestin.

Walau bagaimanapun kali ini akibat daripada kezaliman, penindasan dan kerakusan regim Zionis Israel terhadap warga Palestin di Sheikh Jarrah, Timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza, semuanya telah terdedah kepada warga dunia apabila mereka menyaksikannya sendiri di media sosial melalui perkongsian video di aplikasi FacebookInstagram, Tweeter dan Tiktok.

Akibat daripada pendedahan tersebut, sokongan penduduk dunia terutamanya dari negara Barat terhadap perjuangan Palestin telah meningkat dengan banyaknya di mana selama ini mereka telah disajikan dengan naratif mahupun pemberitaan yang berat sebelah dan palsu dengan menggambarkan warga Palestin dan pejuang pembebasan Palestin sebagai pengganas.

Sejak beberapa hari lalu telah berlangsungnya perarakan menyokong Palestin di bandar-bandar utama di seluruh dunia seperti New York, Los Angeles, Boston, London, Berlin, Paris, Toronto, Sydney, Auckland, Dublin, Oslo, Prague, La Paz, Tokyo, Seoul dan banyak lagi dengan dihadiri oleh puluhan ribu orang. Semalam telah berlangsung satu himpunan terbesar sokongan terhadap Palestin dengan lebih 200,000 orang hadir di Hyde Park, London, United Kingdom.

Alhamdulillah, dalam negara sokongan kita terhadap perjuangan Palestin sangat jitu dan tidak berbelah bahagi. Syukur ke hadrat Allah S.W.T, dengan sokongan padu rakyat Malaysia sejumlah lebih RM12 juta telah dikumpulkan untuk Aid4Palestine yang bertujuan membantu rakyat Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza yang begitu memerlukan bantuan kemanusiaan.

Saya juga percaya ramai di kalangan rakyat Malaysia dan NGO turut membantu dengan pelbagai cara dengan tujuan untuk membantu rakyat Palestin yang begitu memerlukan. Insya-Allah segala amalan dan kebajikan kita akan dibalas dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah S.W.T.

Doakan agar perjuangan Palestin mendapat pembelaan dan perhatian dunia namun jangan lupa, panjangkan doa kita agar Palestin dan warga akan mendapat kemenangan mutlak tidak lama lagi agar mereka mereka mampu hidup bebas dan merdeka di tanah air mereka sendiri.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!

YB HAJI AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -