Self-lockdown: Langkah terbaik kawal Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kempen sekatan pergerakan kendiri atau self-lockdown adalah satu kaedah pengukuhan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

- Advertisement -

Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr Suhazeli Abdullah berkata, langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak berkenaan semakin hari diambil mudah oleh sesetengah pihak untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Menurut beliau, kesan daripada perlanggaran SOP menyaksikan peningkatan bilangan jangkitan harian kini mencecah lebih 6,000 kes setiap hari dan menempatkan Malaysia di tempat teratas jumlah jangkitan harian.

“Kerajaan telah pun menggunakan pelbagai kaedah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan akhir sekali menyelesaikan kemelut wabak Covid-19 ini dalam negara kita. Antaranya adalah dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bermula 18 Mac 2020, kemudian awal tahun ini darurat diisytiharkan di bawah Akta Darurat.

“Pelbagai sekatan pergerakan seperti dilarang rentas negeri dan Rentas daerah pun telah pun digunakan oleh kerajaan semata-mata ingin mengawal supaya Covid-19 ini tidak terus merebak di dalam negara kita.

“Tetapi agak sedih apabila pelbagai alasan diberikan oleh individu-individu tertentu untuk terus bergerak dan balik ke kampung halaman.

“Statistik dunia pada hari ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah tertinggi jumlah harian Covid-19 diikuti oleh negara India. Amat memalukan,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Ujarnya, self-lockdown adalah langkah terbaik bagi mengawal jangkitan Covid-19 dan ianya perlu dilaksanakan sehabis baik oleh semua pihak.

“Selain daripada arahan-arahan PKP seperti elakkan 3C (crowded places, confined spaces, close conversation) serta amalkan 3W (wash, wear, warn) sejak sekian lama disarankan oleh kerajaan. Manakala, self-lockdown adalah satu kaedah pengukuhan. Setiap kita wajib betul-betul faham supaya kita semua selamat.

Kita juga tahu bahawa kaedah penularan Covid-19 sekarang ini adalah secara sporadik. Ianya bukan selalu bukan lagi kluster biasa yang seperti yang kita ketahui sebelum ini. Faktor kedua yang membimbangkan saya adalah wujudnya varian baharu Covid-19 yang mungkin kaedah perebakan makin cepat,” katanya.

Justeru katanya, kempen self-lockdown perlu disahut oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan atau pengaruh tertentu kerana wabak Covid-19 tidak mengenal mangsanya.

Kempen self-lockdown yang dianjurkan NGO PAPISMA adalah bagi bersama-sama membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam mengekang perebakan Covid-19 dapat dikawal. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -